MARKUS 4

4
Perumpamaan tentang Seorang Penabur
(Mat 13.1-9; Luk 8.4-8)
1 Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. 2Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata,
3“Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. 4Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. 5Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, 6tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. 7Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. 8Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.”
9Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”
Maksud Yesus Menggunakan Perumpamaan
(Mat 13.10-17; Luk 8.9-10)
10Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. 11Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan 12 supaya,
‘Mereka akan melihat dan melihat,
tetapi tidak nampak,
mereka akan mendengar dan mendengar,
tetapi tidak faham,
kerana jika mereka memahaminya,
mereka akan kembali kepada Allah
dan Dia akan mengampuni mereka.’ ”
Yesus Menerangkan Perumpamaan tentang Seorang Penabur
(Mat 13.18-23; Luk 8.11-15)
13Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami perumpamaan yang lain? 14Peladang itu menabur perkhabaran Allah. 15Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah. Tetapi sebaik sahaja mereka mendengarnya, Iblis datang lalu mengambil perkhabaran yang sudah ditabur di dalam hati mereka. 16Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. 17Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, dengan segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. 18Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu. 19Tetapi kekhuatiran tentang hidup, keinginan untuk hidup mewah, dan pelbagai keinginan lain memenuhi hati mereka dan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. 20Tetapi benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya, lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.”
Pelita di bawah Pasu
(Luk 8.16-18)
21 Selanjutnya Yesus berkata, “Pernahkah seseorang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu ataupun di bawah katil? Tentu pelita itu diletakkannya di atas kaki pelita. 22 Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan didedahkan. 23Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik.”
24 Yesus juga berkata kepada mereka, “Perhatikanlah apa yang kamu dengar! Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang akan digunakan oleh Allah juga untuk kamu - malahan lebih berat lagi! 25 Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi; tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.”
Perumpamaan tentang Benih yang Tumbuh
26Yesus berkata lagi, “Apabila Allah memerintah, keadaannya dapat diumpamakan seperti seorang yang menabur benih di ladangnya. 27Pada malam hari dia tidur; pada siang hari dia bekerja. Sementara itu, benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku. 28Tanah itulah yang menumbuhkan tanaman sehingga berbuah: mula-mula pucuk, kemudian bulir dan akhirnya buah. 29 Manakala buahnya masak, orang itu pun mula menuainya kerana musim menuai sudah tiba.”
Perumpamaan tentang Biji Sawi
(Mat 13.31-32,34; Luk 13.18-19)
30“Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah?” tanya Yesus. “Perumpamaan apa yang dapat kita gunakan untuk menerangkannya? 31Keadaannya seperti berikut. Biji sawi adalah benih yang terkecil di dunia. Seseorang mengambilnya lalu menanamnya di tanah. 32Beberapa waktu kemudian benih itu tumbuh dan menjadi yang terbesar di antara segala tumbuh-tumbuhan. Cabangnya rimbun sehingga burung datang membuat sarang di bawah keteduhannya.”
33Demikianlah Yesus mengajar dengan menggunakan banyak perumpamaan seperti itu. Dia mengajarkan perkhabaran itu sejauh mana mereka dapat mengerti. 34Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar. Tetapi manakala Dia sendirian dengan pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.
Yesus Meneduhkan Angin Ribut
(Mat 8.23-27; Luk 8.22-25)
35Pada petang hari itu juga, Yesus berkata kepada pengikut-Nya, “Marilah kita menyeberang tasik.” 36Sementara Yesus masih di dalam perahu, para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus belayar bersama dengan Dia. Ada juga perahu-perahu lain yang belayar bersama-sama. 37Lalu angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu sehingga hampir penuh dengan air. 38Tetapi Yesus sedang tidur di bahagian belakang perahu itu, dengan kepala-Nya beralaskan bantal. Pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia dan berkata, “Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!”
39Yesus bangun lalu menengking angin, dan berkata kepada ombak, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali. 40Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?”
41Mereka menjadi sangat takut sehingga mula bercakap sesama sendiri, “Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!”

目前选定:

MARKUS 4: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录