MARKUS 3
3
Orang yang Tangannya Lumpuh Sebelah
(Mat 12.9-14; Luk 6.6-11)
1Kemudian Yesus kembali ke rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. 2Di situ pun ada beberapa orang yang hendak mencari kesalahan Yesus, supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia dengan rapi sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. 3Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah itu, “Marilah ke depan.” 4Lalu Dia bertanya kepada orang di situ, “Menurut Taurat, apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakan mereka?”
Mereka diam sahaja. 5Yesus marah ketika memandang semua orang di situ, dan Dia juga sedih, kerana mereka terlalu keras kepala. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. 6Maka orang Farisi meninggalkan rumah ibadat itu, lalu segera berkomplot dengan beberapa orang anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus.
Orang Ramai di tepi Tasik
7Yesus dan pengikut-Nya pergi ke Tasik Galilea. Banyak sekali orang dari Galilea mengikut Dia. Banyak juga yang datang dari Yudea, 8dari Yerusalem, dari kawasan Idumea, dari kawasan di sebelah timur Sungai Yordan, dan dari sekitar kota Tirus dan Sidon. Orang ramai datang kepada Yesus, kerana mereka mendengar hal-hal yang telah dilakukan-Nya. 9Orang begitu banyak sehingga Yesus menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu bagi-Nya, supaya Dia tidak terhimpit. 10 Dia telah menyembuhkan banyak orang. Oleh itu semua orang sakit berasak-asak hendak menyentuh Dia. 11Setiap kali orang yang dirasuk roh jahat nampak Dia, mereka sujud di hadapan-Nya dan berseru, “Engkaulah Anak Allah!”
12Dengan tegas Yesus melarang roh jahat mengatakan siapa Dia.
Yesus Memilih Dua Belas Orang Pengikut
(Mat 10.1-4; Luk 6.12-16)
13Kemudian Yesus pergi ke kawasan berbukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya. Mereka datang, 14lalu Yesus memilih dua belas orang antara mereka. Dia berkata kepada mereka, “Aku telah memilih kamu supaya menyertai Aku. Aku juga mengutus kamu untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 15Kamu akan mendapat kuasa untuk mengusir roh jahat.”
16Inilah dua belas orang yang dipilih-Nya: Simon (yang juga disebut-Nya Petrus); 17Yakobus dan saudaranya, Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberikan-Nya nama Boanerges, yang bererti “anak guntur”); 18Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon Si Patriot, 19dan juga Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus.
Yesus dan Beelzebul
(Mat 12.22-32; Luk 11.14-23, 12.10)
20Kemudian Yesus pulang. Tetapi orang ramai datang berkumpul lagi, sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. 21Keluarga Yesus pergi mendapatkan Dia apabila mereka mendengar orang berkata, “Dia sudah gila!”
22 Beberapa orang guru Taurat yang datang dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk oleh Beelzebul!
Dia diberikan kuasa oleh ketua roh jahat untuk mengusir roh jahat.”
23Oleh itu Yesus memanggil semua orang itu lalu menceritakan beberapa perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, “Bagaimana Iblis boleh mengusir Iblis? 24Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh. 25Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. 26Oleh itu, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap.
27Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah orang yang kuat dan merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Setelah itu, barulah dia dapat merampas hartanya.
28Ingatlah! Segala dosa yang dilakukan orang dan semua kata kufur yang diucapkan mereka, dapat diampunkan. 29 Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah, tidak dapat diampuni! Dia telah melakukan dosa yang kekal.” ( 30Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”)
Ibu dan Saudara-Saudara Yesus
(Mat 12.46-50; Luk 8.19-21)
31Kemudian ibu dan saudara-saudara Yesus datang dan menunggu di luar. Mereka menyuruh orang memanggil Yesus. 32Ketika itu orang ramai sedang duduk di sekeliling Yesus dan mereka berkata kepada-Nya, “Guru, lihatlah! Ibu dan saudara-saudara guru ada di luar. Mereka memanggil guru.”
33Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” 34Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihatlah, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! 35Sesiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.