Pemujaan AdvenSampel
Kedamaian.
Perkataan Ibrani untuk "kedamaian" ialah perkataan "shalom." Perkataan ini bermaksud "‘kesejahteraan, keamanan, kesempurnaan, keutuhan, tidak kekurangan." Shalom menandakan kehadiran kesejahteraan dan keharmonian, dalaman dan luaran. Perkataan ini juga menandakan ketidakhadiran kebimbangan atau tekanan. Secara alkitabiah, perkataan ini berorientasikan masa depan.
Anda mungkin fikir kelahiran putera "shalom" mestilah tenang.
Anda mungkin fikir demikian.
Matius 1:18-25
Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah. Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam.
Kita tahu sedikit sahaja tentang Yusuf, bapa duniawi Yesus. Ia ialah seorang tukang kayu. Ia merupakan artisan kolar biru yang mahir dengan pekerjaan tangan. Ia bukan seorang ahli akademik, bukan peniaga, dan bukan imam. Ia ialah lelaki yang "bekerja keras untuk pendapatan yang halal."
Apabila tunangnya hamil (kerana Roh Kudus, walaupun ia belum mengetahuinya lagi), responsnya dapat menjadi contoh. Meskipun berkemungkinan besar mengalami kelukaan hati, ia "tidak mahu mempermalukan Maria" dan memutuskan untuk mengatasi situasi itu secara diam-diam, tidak membuat kecoh. Ia mahu melindungi Maria daripada keaiban yang ia sedar pasti akan melandanya. Yusuf bersifat tenang, dan ia membalas hal yang dianggap jahat dengan kebaikan. Dengan kata lain, ia ialah seorang lelaki yang baik.
Pada ketika ini dalam cerita itu, ia pastinya tidak tenang.
Matius 1:20a
Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya.
Yusuf "mempertimbangkan perkara itu" sehingga larut malam. Mimpinya juga dikuasai situasi itu. Ia sedang bermimpi di tengah-tengah keadaan tertekannya apabila malaikat menampakkan diri kepadanya, dengan satu tugas.
Matius 1:20b-25
Malaikat itu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, “Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel.”
Malaikat merupakan ciri utama dalam cerita kelahiran Yesus. Malaikat muncul dengan cahaya yang terang dan terkenal kerana membawakan "berita yang akan menggembirakan semua orang!" Namun bagi Yusuf, sementara berita ini adalah baik, implikasinya terhadapnya di sini dan sekarang juga adalah berat.
Yusuf harus meneruskan perkahwinannya. Maria dan anak lelakinya adalah amat penting. Maria ialah orang yang dinubuatkan oleh nabi. Yesus akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka. Ini merupakan nasib yang amat besar.
Akan tetapi, bagaimana pula dengan Yusuf? Hal yang menarik adalah tiada apa-apa tentang kehidupannya, kesannya. Seolah-olah warisannya terikat pada kehidupan dua orang ini: anak dara dan anak lelakinya.
"Jangan jadi wira, Yus" — saya dapat bayangkan kawan-kawannya memberitahunya. "Itu cuma mimpi bodoh,"
Matius 1:24-25
Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak berseketiduran dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak lelakinya. Yusuf menamakan anak itu Yesus.
Tuhan memerintah Yusuf untuk melakukan sesuatu, dan ia berniat untuk melaksanakannya. Mengharungi ketidakselesaan, dugaan, kerisauan, cabaran dan rasa malu (dibaca sebagai: ketidaktenangan), ia akan membesarkan Raja Damai.
Jika saya ialah Yusuf, saya akan mengajukan beberapa soalan susulan. Namun, Yusuf tidak menanya apa-apa. Ia mempercayai Tuhan dan mentaati-Nya.
Sebenarnya, antara semua watak dalam bahagian awal kehidupan Yesus, Yusuf mendapat paling banyak pertemuan dengan utusan syurgawi. Berulang kali, malaikat menampakkan diri kepadanya dengan tugas yang sukar. Berulang kali, Yusuf percaya dan taat. Lihatlah sendiri…
Matius 2:13-14
Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.” Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir.
Matius 2:19-21
Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. Malaikat itu berkata, “Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.” Yusuf pun bangun, lalu membawa anak itu dan Maria kembali ke negeri Israel.
Kita cuba sedaya upaya untuk menguruskan kesan kita, warisan kita, kedamaian kita. Amat banyak kerisauan, amat banyak tekanan, amat sedikit kedamaian terhasil daripada percubaan untuk menjelmakan sesuatu yang mempunyai makna abadi daripada kekuatan daging. Tuhan tidak meminta kita untuk memisahkan laut, tetapi untuk berjalan melalui laut yang telah dipisahkan. Tuhan tidak meminta Yusuf untuk menjelaskan perkahwinannya dan keluarganya kepada dunia — Dia meminta Yusuf untuk percaya dan taat.
Kepercayaan dan ketaatan adalah cara kita membenarkan Tuhan untuk menggenapi janji-Nya. Dengan berbuat demikian, seperti yang dilakukan oleh Yusuf, kita menemukan kedamaian.
Filipi 3:13-14; 4:7
Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.
Pada hari Krismas ini, buatlah keputusan untuk mengamanahkan nasib anda kepada Tuhan, dan seperti Yusuf, ikatkan warisan anda pada Raja Damai.
...
Doa:
Tuhan, berilah saya kedamaian-Mu. Tolonglah saya untuk percaya dan taat.
Latihan:
Apakah beberapa cara anda telah cuba menghasilkan kepentingan kekal daripada kekuatan daging?
Apakah beberapa lingkungan di mana Tuhan sedang memanggil anda untuk mempercayai dan mentaati-Nya, meskipun sukar?
Perihal Pelan
Harapan, kasih, kedamaian, sukacita. Perkataan ini sering digunakan semasa musim cuti, tetapi adakah kita ingat sebabnya? Cerita Krismas adalah cerita tentang cara Tuhan telah campur tangan dalam sejarah melalui kelahiran Yesus. Kehidupan Maria, Yusuf, dan para gembala betul-betul berubah kerana peristiwa ini. Mereka menemukan harapan, kasih, kedamaian, dan sukacita; bersama-masa, marilah mengingati bagaimana, melalui Yesus, kita juga boleh menemukan semua ini.
More