The Quest (Pencarian)Sampel
Kita telah melihat dua daripada lima soalan menentukur semula kita: 1) Di manakah engkau? dan 2) Siapa yang memberitahukan? Soalan ketiga kita adalah soalan yang diajukan oleh Yesus dalam Yohanes 1:38: "Apa yang kamu cari?" Dia tidak tertarik apabila kita menjawab-Nya dengan apa yang kita rasa Dia mahu dengar. Yesus berupaya menerima kejujuran kita. Dia tahu apabila jawapan sebenar kepada soalan, "Apa yang kamu cari? adalah "masalah." Ataupun wang. Ataupun keyakinan. Ataupun seks. Ataupun dadah. Ada kalanya kesaksian yang paling berkuasa adalah, "Saya mencari ___________________ dan menemui Yesus."
Wanita Samaria dalam Yohanes 4 tidak datang ke perigi menginginkan Yesus. Wanita itu datang kerana inginkan air, jadi Yesus memperkenalkan air yang memberikan hidup kepadanya. Wanita itu tidak ditolak kerana inginkan perkara yang salah. Yesus menggunakan apa yang dicarinya untuk membawa dia kepada apa yang diketahui-Nya adalah apa yang paling diinginkan jauh di lubuk hatinya: seorang Penyelamat yang boleh menghentikan kegilaan, mengampunkan dosanya, dan memberikannya maruah. Mesias yang mengetahui versi sebenar ceritanya dan tidak mempercayai percubaan pintarnya untuk mengalihkan perhatian.
Demikian juga, Yesus merupakan perkara terakhir yang diinginkan Saulus apabila dia terjumpa Dia dalam perjalanan ke Damsyik. Dia tidak memburu Yesus. Dia memburu pengikut Yesus. Begitu, orang yang meminta menerima meskipun apa yang diterima itu berbeza daripada apa yang diminta. Pencari menemui meskipun apa yang ditemui berbeza daripada apa yang dicari. Pintu dibuka kepada orang yang mengetuk meskipun tuan rumah yang tidak dijangka memusing tombol. Dia melihat di sebalik keinginan duniawi kita dan nampak apa yang kita betul-betul inginkan apabila kita menamatkan perlumbaan. Yesaya 46:10 menangkap konsep yang amat besar dalam pencarian kita: Allah mengetahui kesudahannya dari mula-mula lagi. Enam perkataan itu merupakan pengubah keadaan dalam perlumbaan Olimpik ini. Ia menempatkan keyakinan dalam hati pencari.
Apakah keinginan yang paling membangkitkan semangat anda? Apakah kerinduan anda? Mana antaranya lama tidak dipenuhi? Tulis kepada Allah dan beritahu Dia tentang semua kerinduan anda. Tentang apa yang didambakan. Beritahu Dia tentang keinginan yang mendorong anda. Tidak lama kemudian anda akan menyedari bahawa Allah sendiri telah menanam beberapa daripada keinginan itu dalam hati anda.
Baca kata-kata Mazmur 38:9 (ay. 10 dalam terjemahan BM) dengan kuat kepada Yesus untuk melengkapkan bacaan hari ini. Renungkan ayat ini. Hafalnya. Biarlah kebenaran ini menjadi khemah di mana anda boleh berehat semasa anda meneruskan perjalanan anda.
Perihal Pelan
Dalam pelan bacaan 7 hari ini, Beth Moore menggunakan soalan daripada Alkitab untuk memimpin anda kepada keintiman dengan yang Satu yang mengenali anda dengan baik sekali. Tanda baca yang melengkung pada hujung ayat membayangkan sifat ingin tahu, minat, dan mungkin juga keraguan. Satu soalan merupakan jemputan ke arah kerentanan, ke arah keintiman. Alkitab tidak mengelak daripada jemputan tersebut. Berkali-kali kita melihat umat Allah menanya soalan tentang Pencipta mereka. Kita juga melihat Allah alam semesta mengajukan soalan kepada ciptaan-Nya. The Quest (Pencarian) merupakan cabaran untuk menerima jemputan tersebut. Belajar mendalami Firman, memberikan respons terhadap soalan Allah, dan membawa soalan anda kepada-Nya. Biarlah tanda soal menjadi peta yang mengarahkan anda kepada hubungan yang lebih rapat dengan Bapa.
More