Kehidupan Berubah: Mendukung IdentitiSampel
Mendukung Identiti dalam Kristus
Terdapat perbezaan antara mengetahui apa yang tercatat dalam Alkitab dan mempercayai bahawa ia mengubah cara kita menjalankan hidup kita. Betul-betul mendukung identiti dalam Kristus ialah hal yang memberikan kita keupayaan untuk mengatasi dugaan dengan yakin. Ia memenuhi hidup kita dengan sukacita, kesejahteraan, dan tujuan. Ia membenarkan kita untuk mengasihi diri kerana Dia mengasihi kita. Memahami siapa kita ini dan kita milik siapa mengubah segala sesuatu, tetapi kita perlu sentiasa berjaga-jaga.
Sejak waktu kita mula mempercayai kita adalah berharga, dikasihi, dan dikhaskan oleh Allah, musuh cuba merampasnya. Musuh kita benci bila kita menambatkan identiti kita dalam Yesus kerana ini membuatnya tidak berupaya dalam hidup kita dan menyebabkan kesan riak yang menyebarkan harapan kepada orang lain. Kita tidak boleh membiarkan Iblis mengingatkan kita tentang masa silam kita atau meyakinkan kita bahawa kita tidak dapat berubah. Alkitab mengatakan bahawa semasa kita menerima Yesus dalam hati kita, kita ialah ciptaan yang baru. Kasih kurnia-Nya menutup dosa kita, rasa malu kita, dan masa silam kita. Kita harus berpaut pada kebenaran bahawa kita milik-Nya.
Ia mengingatkan saya tentang sebatang pokok di halaman kami. Semasa pokok itu ditanam, pokok itu memerlukan penyokong besi untuk menyokongnya dan menguatkannya. Dengan peredaran masa, pokok itu bertumbuh mengelilingi penyokong itu, menjadikannya mustahil untuk menanggalkan besi itu. Kini, penyokong itu ialah sebahagian daripada pokok itu. Dengan cara yang sama, kebenaran Allah menguatkan kita. Jika kita berpaut padanya untuk tempoh yang cukup lama, akhirnya ia akan menjadi sebahagian daripada identiti kita yang tidak dapat dikikis.
Tindakan:
Allah dengan telitinya mengambil masa untuk mencipta setiap perincian yang menjadikan anda anda. Dia melihat anda yang sebenarnya dan Dia mengasihi anda tanpa syarat. Biarlah kebenaran itu meresap ke dalam otak anda. Jangan berlari daripadanya, bersembunyi daripadanya, atau cuba menyingkirkannya. Mintalah Allah untuk membantu anda untuk mempercayainya dan menjadikannya bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada anda. Apabila anda betul-betul mengambil identiti anda dalam Kristus, anda akan menemui kebebasan daripada dusta yang mengekang anda dan keyakinan untuk menghadapi sebarang dugaan.
Allah Bapa, terima kasih kerana Engkau mengarahkan saya kepada pelan ini dan kerana Engkau menolong saya memulakan perjalanan ke arah menempatkan identiti saya dalam-Mu. Tolonglah saya untuk melihat label yang membebani saya kerana ia ialah dusta dan tolonglah saya untuk menggantikannya dengan kebenaran-Mu. Tolonglah saya untuk berhenti membandingkan diri dengan orang lain dan tidak lagi membenarkan bicara kendiri saya yang negatif untuk membentuk imej kendiri saya. Berilah saya mata untuk melihat diri saya sebagaimana Engkau melihat saya - diingini, dihargai, baik, berupaya, memiliki bakat yang unik, dan dicipta dengan luar biasa. Saya ingin didefinisikan oleh-Mu dan Engkau sahaja. Saya memberikan kebenaran-Mu kuasa terhadap hidup saya dan meminta agar Engkau menunjukkan kepada saya bagaimana saya boleh menggunakan apa yang telah diberikan-Mu untuk mengembangkan kerajaan-Mu. Terima kasih kerana kasih-Mu yang tidak bersyarat, yang tidak meninggalkan saya tetapi mendekatkan saya kepada-Mu. Saya mengasihi-Mu dan mempercayai-Mu. Dalam nama Yesus yang berkuasa, amin.
Kami berdoa agar Allah menggunakan pelan ini untuk melayani hati anda.
Perihal Pelan
Dengan banyak suara yang memberitahu kita tentang siapa kita ini, tidak hairanlah kita bergelut dengan identiti kita. Allah tidak mahu kita untuk didefinisikan oleh kerjaya kita, status perkahwinan kita, ataupun kesilapan kita. Dia mahu pendapat-Nya untuk menjadi kuasa yang tertinggi dalam hidup kita. Pelan enam hari ini akan membantu anda untuk membatinkan apa yang dikatakan oleh Alkitab tentang siapa anda itu dan betul-betul mendukung identiti anda dalam Kristus.
More