Allah Menyertai KitaSampel
Penasihat Bijaksana
Dalam Yesaya, Yesus dirujuk sebagai Penasihat kita yang Bijaksana, dan sepanjang Perjanjian Baru kita melihat pelayanan-Nya menyokong ini. Yesus bukan sahaja memberikan harapan dan penyembuhan di tempat yang diluluskan oleh masyarakat, seperti rumah ibadat. Dia membawa pelayanan-Nya ke jalanan dan mencari orang yang sesat, menderita, dan remuk, terutamanya golongan yang telah dilupakan oleh masyarakat. Memanglah suatu berkat memiliki Penasihat Bijaksana yang menerima kita yang seadanya.
Kita juga diingatkan bahawa Yesus pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri—tetapi Dia tidak berbuat dosa. Menyedari penderitaan dan cemuhan yang bakal melanda-Nya, Allah menjadi manusia, memilih untuk mengalami sendiri setiap aspek kehidupan. Dalam Yesus, kita bukan sahaja mempunyai seseorang yang boleh memahami pergelutan kita, malah mempunyai seseorang yang sentiasa bersedia dan rela mengharungi semua itu bersama kita.
Walau bagaimanapun, sebagaimana mendapatkan nasihat yang bijak daripada seorang mentor atau kawan memerlukan setakat tertentu kejujuran dan kerendahan hati, Allah menghendaki kita untuk bersikap jujur dan rendah hati semasa kita menyerahkan beban kita kepada Yesus. Apabila kita berbuat demikian, kita akan mendapat lebih daripada nasihat yang baik—kita akan mengalami pertumbuhan, penyembuhan, dan kemenangan yang hanya dapat ditemui dalam-Nya.
Semasa kita meraikan hari Krismas, marilah kita mengingati bahawa kita tidak perlu menghadapi kehidupan ini bersendirian. Luangkan masa untuk berhubungan dan berterus-terang dengan Yesus, Penasihat Bijaksana kita. Carilah Dia dalam Firman Allah dan tetap yakin bahawa Dia adalah setia dan akan mendekati anda. Dalam-Nya, anda akan menemukan kebijaksanaan, kearifan, dan penyataan—tiada jawapan yang tidak dapat ditemui dalam Yesus!
Doa: Yesus, terima kasih kerana Engkau telah datang ke dunia ini dan menghadapi setiap pencubaan supaya Engkau dapat memahami apa yang dihadapi oleh saya. Saya berasa amat bersyukur bahawa saya dapat mendekati-Mu dengan segala sesuatu. Terima kasih kerana mencipta dan menjaga jiwa saya. Tolonglah saya untuk menempatkan segala sesuatu di hadapan-Mu, dan untuk mempercayai-Mu sementara Engkau berjalan bersama saya melalui setiap situasi. Terima kasih kerana menjadi Penasihat Bijaksana saya.
Perihal Pelan
Hari Krismas adalah masa yang dipenuhi sukacita, menandakan kelahiran Yesus, Penyelamat kita. Terdapat banyak nubuatan sepanjang Alkitab tentang kedatangan Yesus, dan melalui renungan ini, kita akan meneliti lima nama yang digunakan oleh Allah dalam Alkitab untuk mengumumkan kedatangan-Nya. Kita akan meneliti bagaimana Yesus terjelma dalam nama tersebut dan bagaimana ia masih relevan kepada kita hari ini seperti pada waktu Dia hidup di dunia ini.
More