ROMA 4:1-12

ROMA 4:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Jika demikian apakah yang dapat kita katakan tentang Abraham, nenek moyang bangsa kita? Bagaimanakah pengalamannya? Jika Abraham diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya kerana hal-hal yang dilakukan oleh Abraham, maka Abraham boleh berbangga. Tetapi dia tidak dapat berbangga di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Seorang yang bekerja, biasanya menerima gaji, dan gajinya itu tidak dianggap sebagai suatu pemberian, kerana gaji itu haknya. Tetapi seseorang yang percaya kepada Allah tidak bergantung kepada usahanya sendiri. Orang itu percaya kepada Allah yang menyatakan orang berdosa bebas daripada dosa. Kepercayaan orang itu menyebabkan dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan orang yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa supaya diterima oleh Allah. Daud berkata, “Berbahagialah orang yang kesalahan mereka diampuni oleh Allah, dan dosa mereka dihapuskan oleh Allah! Berbahagialah dia yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Allah!” Adakah kebahagiaan yang dimaksudkan Daud itu hanya dikhaskan untuk orang yang bersunat? Tentu tidak. Kebahagiaan itu juga untuk orang yang tidak bersunat. Hal ini demikian, kerana sudah kami katakan sebelumnya bahawa, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat. Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat. Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat.

ROMA 4:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA apakah yang handak kita katakan, Ibrahim bapa kita itu tŭlah mŭndapat deri sŭbab adat adat tauret? Kŭrna jikalau Ibrahim itu dibŭnarkan sŭbab amal, maka adalah kapadanya kŭmuliaan, tŭtapi tiada dihalrat Allah. Maka apakah yang tŭrsŭbut dalam kitab? Adapun Ibrahim tŭlah pŭrchaya akan Allah, maka sŭbab itulah dibilangkan dia bŭnar. Adapun kapada orang yang bŭrbuat amal itu, maka fahala itu bukannya dibilang deripada anugrah, mŭlainkan pŭmbayar hutang adanya. Tŭtapi kapada orang yang tiada bŭrbuat amal itu, hanya iya pŭrchaya kapada Allah yang mŭmbŭnarkan orang jahat, adapun imannya itu dibilangkan kŭrna kabŭnaran. Mŭski pun spŭrti yang dikatakan ulih Daud derihal slamat orang itu yang dibilang Allah bŭnar dŭngan tiada amalnya. Katanya, Bahwa bŭrbahgialah orang orang yang diampuni Allah kŭsalahannya, dan ditudongkannya dosa dosanya. Dan bŭrbahgialah pula orang yang tiada ditanggongkan Tuhan dosa atasnya. Adapun bŭrkat yang datang itu atas orang yang disunatkankah sahja, atau atas orang yang tiada disunatkan pun? Kŭrna kita tŭlah bŭrkata Adapun iman itulah dibilangkan bagie Ibrahim ganti kabŭnaran. Bagimanakah garangannya tŭlah dibilangkan, iya itu tŭtkala Ibrahim itu sudah bŭrsunatkah, atau tŭtkala bŭlom lagi disunatkankah? Maka iya itu bukannya tŭtkala sudah iya bŭrsunat, mŭlainkan sŭbŭlom dia bŭrsunat. Maka iya tŭlah mŭnŭrima akan alamat bŭrsunat itu, maka iya itulah suatu mutrie akan kabŭnaran iman yang ada padanya tŭtkala sŭbŭlom iya disunatkan, supaya iya mŭnjadi bapa bagie sagala orang yang pŭrchaya, mŭskipun marika itu tiada disunatkan, supaya kabŭnaran itu dapat ditangonggkan kapada marika itu pun. Maka Ibrahim itulah yang tŭlah mŭnjadi bapa bŭrsunat itu, bukannya kapada orang yang bŭrsunat sahja, mŭlainkan kapada barang siapa yang mŭnurot kŭjŭjakan iman bapa kami Ibrahim itu sŭbŭlom lagi iya disunatkan.

ROMA 4:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh yang demikian, apakah yang akan kita katakan tentang Abraham, nenek moyang jasmaniah kita? Jika Abraham telah diperbenar kerana kerja amalnya dapatlah dia berbangga tetapi bukan di mata Allah. Apakah yang tersurat dalam Kitab Suci? “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Bagi seseorang yang membuat kerja, gajinya tidak dikira sebagai anugerah tetapi sebagai haknya. Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diperhitungkan sebagai perbenaran. Demikianlah Daud berkata tentang berkat ke atas orang yang diperbenar Allah tanpa mengira kerja amalnya. Kata Daud: “Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya dan yang dihapuskan dosa-dosanya. Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan.” Maka adakah berkat ini untuk orang yang bersunat, atau untuk orang yang tidak bersunat juga? Kerana kita berkata, “Iman Abraham diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Jadi, bagaimana iman itu diterima? Semasa dia sudah bersunat, atau sebelum bersunat? Bukan semasa dia sudah bersunat, tetapi ketika dia belum bersunat; lalu dia menerima tanda persunatan, materai perbenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya perbenaran juga diperhitungkan kepada mereka dan dia juga menjadi bapa kepada orang bersunat yang bukan sahaja bersunat tetapi juga mengikut jejak langkah moyang bangsa kita, Abraham yang beriman sebelum dia bersunat.