Roma 4:1-12

Roma 4:1-12 AVB

Oleh yang demikian, apakah yang akan kita katakan tentang Abraham, nenek moyang jasmaniah kita? Jika Abraham telah diperbenar kerana kerja amalnya dapatlah dia berbangga tetapi bukan di mata Allah. Apakah yang tersurat dalam Kitab Suci? “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Bagi seseorang yang membuat kerja, gajinya tidak dikira sebagai anugerah tetapi sebagai haknya. Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diperhitungkan sebagai perbenaran. Demikianlah Daud berkata tentang berkat ke atas orang yang diperbenar Allah tanpa mengira kerja amalnya. Kata Daud: “Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya dan yang dihapuskan dosa-dosanya. Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan.” Maka adakah berkat ini untuk orang yang bersunat, atau untuk orang yang tidak bersunat juga? Kerana kita berkata, “Iman Abraham diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Jadi, bagaimana iman itu diterima? Semasa dia sudah bersunat, atau sebelum bersunat? Bukan semasa dia sudah bersunat, tetapi ketika dia belum bersunat; lalu dia menerima tanda persunatan, materai perbenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya perbenaran juga diperhitungkan kepada mereka dan dia juga menjadi bapa kepada orang bersunat yang bukan sahaja bersunat tetapi juga mengikut jejak langkah moyang bangsa kita, Abraham yang beriman sebelum dia bersunat.