ROMA 3:9-26

ROMA 3:9-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah.” Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah. Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Hal itu tidak ada kaitannya dengan hukum, walaupun Taurat dan Kitab Nabi-Nabi menyatakan hal itu. Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Dengan cara itu Allah menunjukkan bahawa Dia adil, dan bahawa Dia menyatakan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.

ROMA 3:9-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭtapakah skarang, adakah kita tŭrlebih baik deripada orang orang itu? Tidak, skali kali pun tidak; kŭrna kita tŭlah bŭrsaksikan dahulu, baik kapada orang Yahŭdi, baik kapada orang sŭsat, bahwa skaliannya ada dibawah kwasa dosa adanya. Spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa tiada sa’orang jua pun yang bŭnar, tidak, sa’orang pun tidak. Maka tiada sa’orang jua pun yang mŭngarti, dan tiada sa’orang jua pun yang mŭnuntut Allah. Maka skaliannya tŭlah sŭsat deripada jalan; maka sagala marika itu bulat bulat mŭnjadi sia sialah; maka sa’orang jua pun tiada yang bŭrbuat baik, sa’orang pun tidak. Adapun kŭrongkongan marika itulah suatu kubor yang tŭrbuka adanya, maka dŭngan lidahnya iya tŭlah mŭmakie tipu, dan bisa ular ada dibawah bibernya. Maka mulotnya pun pŭnoh dŭngan laanat dan kŭkotoran. Maka kakinya pun pantas handak mŭnumpahkan darah. Dan pada jalan marika itu adalah kabinasaan dan chilaka. Maka tiadalah dikŭtahui ulih marika itu akan jalan slamat. Ta’dalah barang sŭdikit jua pun takot akan Allah dalam hati marika itu. Bahwa kami skaranglah tŭlah mŭngŭtahui barang apa yang dikatakan ulih tauret, maka dikatakannya itu kapada orang yang dibawah prentah tauret, supaya tŭrsumbat tiap tiap mulot, dan supaya sŭgŭnap dunia disalahkan pada halrat Allah. Maka sŭbab itulah dŭngan amal tauret itu tiadalah barang sa’orang jua pun akan dibŭnarkan dihadapan Allah, kŭrna pŭngŭtahuan dosa itu datangnya deripada tauret. Tŭtapi skarang kabŭnaran Allah dŭngan tiada tauret itu tŭlah dinyatakan, dan adalah disaksikan pula ulih tauret dan surat sagala nabi nabi. Mŭski pun kabŭnaran Allah ulih sŭbab iman akan Almasih, iya itu datang kapada skalian orang, dan atas skalian orang yang pŭrchaya, kŭrna tiadalah pŭrbethaannya. Kŭrna skaliannya itu tŭlah bŭrbuat dosa, dan tiada bŭrulih kŭmuliaan Allah. Ulih sŭbab dibŭnarkan skaliannya smata mata dŭngan anugrah deripada bŭrkat tŭbusan yang ada dalam Isa Almasih. Yang tŭlah ditŭntukan Allah akan mŭnjadi korban dŭngan bŭrkat iman akan darahnya, supaya dinyatakannya kabŭnaran Allah itu dŭngan mŭngampuni dosa yang tŭlah lalu, deri kŭrna sabar Allah adanya. Maka iya itu akan mŭnyatakan pada masa ini kabŭnaran Allah, supaya Allah mŭnjadi adil, dan yang mŭmbŭnarkan akan orang yang pŭrchaya akan Isa.

ROMA 3:9-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jadi bagaimana? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tidak sekali-kali. Kerana dahulu kita telah mengatakan bahawa baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, semuanya berada di bawah kuasa dosa. Sebagaimana tersurat: “Tiada yang benar, seorang pun tidak. Tiada yang mengerti, tiada yang mencari Allah. Semuanya telah berpaling, semuanya tidak berguna; tiada yang berbuat baik, tiada seorang pun. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; tipu daya mengalir dari lidah mereka; dan racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka. Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan. Kaki mereka cepat menumpahkan darah. Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata, sedangkan jalan damai tidak dikenal mereka. Rasa takut terhadap Allah tiada dalam jiwa mereka.” Kita tahu bahawa segala yang tersurat dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Oleh itu, tiada siapa pun dapat berdalih dan seluruh umat manusia akan dihakimi oleh Allah. Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu. Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun. Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus. Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Allah menunjukkan bahawa Dia benar dan memperbenar semua mereka yang beriman kepada Yesus.