Roma 3:9-26

Roma 3:9-26 AVB

Jadi bagaimana? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tidak sekali-kali. Kerana dahulu kita telah mengatakan bahawa baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, semuanya berada di bawah kuasa dosa. Sebagaimana tersurat: “Tiada yang benar, seorang pun tidak. Tiada yang mengerti, tiada yang mencari Allah. Semuanya telah berpaling, semuanya tidak berguna; tiada yang berbuat baik, tiada seorang pun. Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; tipu daya mengalir dari lidah mereka; dan racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka. Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan. Kaki mereka cepat menumpahkan darah. Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata, sedangkan jalan damai tidak dikenal mereka. Rasa takut terhadap Allah tiada dalam jiwa mereka.” Kita tahu bahawa segala yang tersurat dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Oleh itu, tiada siapa pun dapat berdalih dan seluruh umat manusia akan dihakimi oleh Allah. Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu. Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun. Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus. Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Allah menunjukkan bahawa Dia benar dan memperbenar semua mereka yang beriman kepada Yesus.