WAHYU 19:1-9

WAHYU 19:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, “Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa! Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah.” Sekali lagi mereka berseru, “Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!” Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, “Amin! Pujilah Allah!” Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, “Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia - baik orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, “Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja! Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu. Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.” (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.) Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.” Malaikat itu berkata lagi, “Inilah firman yang benar daripada Allah.”

WAHYU 19:1-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka kumdian deripada itu, aku tŭlah mŭnŭngar suatu swara yang bŭsar deripada banyak orang dalam shorga, katanya, Alleluya; slamat, dan kamulian, dan hormat, dan kwasa kiranya bagie Allah Tuhan kami; Kŭrna bŭnar dan adillah kiranya sagala hukumnya, tŭgal iya tŭlah mŭnghukumkan jalang yang bŭsar itu, yang tŭlah mŭrosakkan bumi ulih pŭrsundalannya, sŭrta mŭnuntut bela darah sagala hambanya akan dia. Maka bŭrkatalah pula marika itu, Alleluya. Maka asapnya pun naik kŭkal slama lamanya. Bŭrmula adapun dua puloh ampat orang tua tua, dan ampat ekor binatang itupun sujudlah, sŭrta mŭnyŭmbah Allah yang dudok diatas arash itu, katanya, Amin, Alleluya. Maka tŭrbitlah suatu swara deri dalam arash itu, katanya, Pujilah akan Allah kami sagala kamu hambanya, dan kamu yang takot akan dia, baik kŭchil baik bŭsar. Maka kudŭngar pula bunyi spŭrti swara bŭlatŭntara yang bŭsar, dan bagie ayer banyak mŭndru, dan spŭrti bunyi halalintar yang bŭsar, katanya, Alleluya; kŭrna Allah Tuhan maha kwasa itu ada mŭmrentah. Maka biarlah kiranya kami bŭrsuka sukaan dan tŭrmasa, sŭrta mŭmuliakan dia; kŭrna kahwen anak Domba itu tŭlah sampie, dan istrinya pun tŭlah mŭnyŭdiakan dirinya. Maka pada pŭrampuan itu tŭlah dikurniakan mŭmakie dŭngan khasa halus, pŭrsih dan putih; kŭrna khasa halus itulah kabŭnaran orang orang salih. Maka bŭrkatalah iya padaku, Tulislah, Bŭrbahgialah kiranya orang orang yang dijŭmpot kapada pŭrjamuan kahwen anak Domba itu. Maka bŭrkatalah iya padaku, Inilah pŭrkataan yang bŭnar deripada Allah.

WAHYU 19:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang, “Haleluya! Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Allah kita! Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil, kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya; dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!” Mereka berkata lagi, “Haleluya! Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!” Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata, “Amin! Haleluya!” Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata, “Pujilah Allah kita, hai kamu sekalian hamba-Nya dan orang yang takut akan Dia, baik yang kecil mahupun yang besar!” Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata, “Haleluya! Kerana Tuhan, Allah kita, Yang Maha Kuasa sedang bertakhta! Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia, kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba, dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya. Isterinya diberi kain linen yang halus, suci berseri-seri untuk dipakai.” (Kain linen yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.) Kemudian dia berkata kepadaku, “Tulislah: Diberkatilah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!” Katanya lagi kepadaku, “Inilah firman Allah yang benar.”