WAHYU 19:1-9

WAHYU 19:1-9 BM

Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, “Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa! Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah.” Sekali lagi mereka berseru, “Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!” Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, “Amin! Pujilah Allah!” Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, “Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia - baik orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, “Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja! Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu. Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.” (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.) Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.” Malaikat itu berkata lagi, “Inilah firman yang benar daripada Allah.”