Wahyu 19:1-9

Wahyu 19:1-9 AVB

Setelah itu, aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang, “Haleluya! Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Allah kita! Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil, kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya; dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!” Mereka berkata lagi, “Haleluya! Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!” Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata, “Amin! Haleluya!” Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata, “Pujilah Allah kita, hai kamu sekalian hamba-Nya dan orang yang takut akan Dia, baik yang kecil mahupun yang besar!” Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata, “Haleluya! Kerana Tuhan, Allah kita, Yang Maha Kuasa sedang bertakhta! Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia, kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba, dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya. Isterinya diberi kain linen yang halus, suci berseri-seri untuk dipakai.” (Kain linen yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.) Kemudian dia berkata kepadaku, “Tulislah: Diberkatilah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!” Katanya lagi kepadaku, “Inilah firman Allah yang benar.”