WAHYU 18:21-24
WAHYU 18:21-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian satu malaikat perkasa mengangkat sebuah batu sebesar batu kisaran yang besar, lalu membuangnya ke dalam laut seraya berkata, “Demikianlah kota Babel yang agung itu akan dihempaskan dengan kuat, dan tidak akan dijumpai lagi. Suara penyanyi dan bunyi muzik daripada pemain kecapi, pemain seruling dan trompet tidak akan terdengar lagi di kota Babel! Semua tukangmu yang mahir tidak dapat dijumpai lagi dan bunyi batu kisaran pun tidak akan terdengar lagi! Cahaya pelita tidak akan terlihat lagi di Babel dan keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi. Saudagar-saudagarmu ialah orang yang terkemuka di seluruh dunia, dan dengan ilmu sihir engkau menipu semua orang di dunia!” Babel dihukum kerana darah nabi-nabi dan darah umat Allah didapati di dalam kota itu - singkatnya darah semua orang yang sudah dibunuh di atas bumi.
WAHYU 18:21-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sa’orang mŭliekat yang amat kuat tŭlah mŭngangkat sa’buah batu bagie batu kisaran yang bŭsar, lalu dilontarkannya kadalam laut, katanya, Dŭmkianlah dŭngan gagahnya nŭgri Babel yang bŭsar itupun akan dihumbankan; maka tiadalah kŭlak akan didapati lagi. Maka swara orang yang bŭrkŭchapi, dan yang mŭnyanyi, dan yang bŭrbangsi bangsi, dan yang bŭrsrunie, tiadalah akan didŭngar lagi deri dalammu; dan sa’orang yang tukang, mŭskipun barang kapandieannya, tiada akan didapati lagi didalammu; dan bunyi batu kisaran pun tiadalah akan kadŭngaran skali kali lagi didalammu; Dan trang dian pun tiadalah akan klihatan skali kali lagi didalammu, dan swara mŭmpulie, dan pŭngantin pun tiadalah akan kadŭngaran skali kali lagi didalammu: kŭrna saudagarmu itu orang bŭsar bŭsar dibumi, tŭgal dŭngan hubatanmu sagala bangsa orang tŭlah tŭrtipu. Maka dalamnyalah didapati darah sagala nabi, dan orang orang salih, dan sagala orang yang tŭlah tŭrbunoh diatas bumi.
WAHYU 18:21-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian malaikat yang gagah perkasa mengangkat batu yang besarnya seperti batu kisar rupanya lalu melontarkannya ke dalam laut sambil berkata, “Demikianlah, dengan dahsyatnya, kota Babel yang agung akan dilenyapkan, dan tidak akan ditemukan lagi. Bunyi orang bermain kecapi, seruling, serunai dan sangkakala tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Ahli-ahli seni pertukangan tidak akan terdapat lagi di dalammu. Bunyi batu kisar tidak akan didengar lagi di dalammu. Cahaya lampu tidak akan bersinar lagi di dalammu. Suara pasangan pengantin tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Saudagar-saudagarmu dahulu orang besar-besar di dunia, kerana dengan kuasa sihirmu semua bangsa telah terperdaya.” Di dalamnya telah didapati darah para nabi dan orang salih, serta semua yang telah dibunuh di bumi ini.