WAHYU 18

18
Kejatuhan Babel
1Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga. Dia mempunyai kuasa besar, dan cahaya yang mengelilinginya menerangi seluruh bumi. 2 Dia berseru dengan suara lantang, “Babel sudah jatuh! Babel yang agung sudah jatuh! Sekarang syaitan-syaitan dan roh-roh jahat tinggal di Babel. Segala macam burung yang najis dan dibenci orang tinggal di situ. 3 Semua bangsa sudah minum wainnya, iaitu perbuatannya yang cabul. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengannya, dan saudagar-saudagar di bumi menjadi kaya oleh nafsunya yang tidak terkendali itu.”
4 Kemudian aku mendengar suara lain dari syurga berkata,
“Keluarlah, hai umat-Ku! Keluarlah dari Babel!
Janganlah berbuat dosa seperti penduduk kota itu;
janganlah ikut menanggung hukumannya,
5 kerana dosanya bertimbun-timbun sampai ke langit,
dan Allah tidak lupa akan kejahatannya.
6 Perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan kamu;
balaslah Babel dua kali ganda bagi semua perbuatannya.
Isilah cawannya dengan minuman yang dua kali lebih keras
daripada minuman yang disediakannya untuk kamu.
7Berilah Babel penderitaan dan kesedihan
sebanyak kemuliaan dan kemewahan yang diberikannya kepada dirinya sendiri,
kerana Babel sentiasa berkata kepada dirinya sendiri,
‘Aku ratu yang memerintah!
Aku bukan balu,
aku tidak akan mengalami kesedihan!’
8 Itulah sebabnya dalam sehari semua malapetaka ini akan menimpanya:
penyakit, kesedihan, dan kebuluran.
Babel akan dihanguskan oleh api,
kerana Tuhan Allah yang menghakiminya itu berkuasa.”
9Raja-raja dunia yang ikut melakukan perbuatan cabul dan lucah dengannya, akan menangisi dan meratapi kota itu apabila mereka melihat asap api yang menghanguskannya. 10 Mereka berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka berkata, “Alangkah malangnya kota Babel yang agung dan perkasa itu! Dalam satu jam sahaja Babel telah dihukum!”
11 Para saudagar di bumi menangis dan berkabung kerananya, oleh sebab tidak seorang pun membeli barang dagangan mereka lagi. 12Tidak seorang pun membeli emas, perak, permata, ataupun mutiara mereka; tidak seorang pun membeli kain linen, kain ungu, kain sutera, dan kain merah tua; tidak seorang pun membeli segala macam kayu yang jarang didapati, pelbagai benda yang dibuat daripada gading, kayu yang mahal, gangsa, besi, dan marmar; 13 tidak seorang pun membeli kayu manis, rempah-rempah, setanggi, mur, dan kemenyan; tidak seorang pun membeli wain dan minyak, tepung dan gandum, lembu dan domba, kuda dan pedati, abdi dan tawanan perang sekalipun. 14Para saudagar berkata kepadanya, “Segala yang ingin engkau miliki sudah lenyap, dan semua kekayaan serta keindahanmu sudah hilang. Engkau tidak akan mendapati semua itu lagi!” 15 Para saudagar yang menjadi kaya kerana berniaga di kota itu akan berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka akan menangis dan berkabung, 16serta berkata, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Biasanya Babel berpakaian kain linen, kain ungu, dan kain merah tua; biasanya Babel memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara! 17 Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala kekayaannya!”
Semua nakhoda, penumpang, dan anak kapal, serta semua orang yang mempunyai mata pencarian di laut, berdiri dari jauh. 18 Mereka berteriak apabila melihat asap api yang membakar kota itu. Mereka berseru, “Belum pernah ada kota seperti kota yang agung ini!” 19 Mereka menghamburkan abu ke atas kepala sebagai tanda berkabung. Lalu mereka menangis dan berseru, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Di situlah semua orang yang mempunyai kapal-kapal di laut menjadi kaya kerana kekayaan kota itu! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala-galanya!”
20 Bersukacitalah, hai syurga, kerana kemusnahan kota itu! Bersukacitalah, hai umat Allah, rasul-rasul, dan nabi-nabi, kerana Allah telah menghukum Babel bagi apa yang sudah dilakukannya terhadap kamu!
21 Kemudian satu malaikat perkasa mengangkat sebuah batu sebesar batu kisaran yang besar, lalu membuangnya ke dalam laut seraya berkata, “Demikianlah kota Babel yang agung itu akan dihempaskan dengan kuat, dan tidak akan dijumpai lagi. 22 Suara penyanyi dan bunyi muzik daripada pemain kecapi, pemain seruling dan trompet tidak akan terdengar lagi di kota Babel! Semua tukangmu yang mahir tidak dapat dijumpai lagi dan bunyi batu kisaran pun tidak akan terdengar lagi! 23 Cahaya pelita tidak akan terlihat lagi di Babel dan keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi. Saudagar-saudagarmu ialah orang yang terkemuka di seluruh dunia, dan dengan ilmu sihir engkau menipu semua orang di dunia!”
24 Babel dihukum kerana darah nabi-nabi dan darah umat Allah didapati di dalam kota itu - singkatnya darah semua orang yang sudah dibunuh di atas bumi.

Terpilih Sekarang Ini:

WAHYU 18: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk