WAHYU 11:1-19
WAHYU 11:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian aku diberikan sebatang tongkat yang kelihatannya seperti kayu pengukur. Lalu aku diperintahkan, “Pergilah ukur Rumah Allah dan mazbah. Kiralah orang yang beribadat di Rumah Allah. Tetapi janganlah ukur halaman yang di sebelah luar, kerana bahagian itu sudah diserahkan kepada orang yang tidak mengenal Allah. Mereka akan menginjak-injak kota suci itu selama empat puluh dua bulan. Aku akan mengutus dua orang saksi-Ku yang mengenakan pakaian berkabung. Mereka akan mengisytiharkan perkhabaran Allah selama 1,260 hari.” Kedua-dua orang saksi itu adalah dua batang pokok zaitun dan dua buah kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta. Jika sesiapa cuba mencederakan mereka, api keluar dari mulut mereka dan membinasakan musuh. Dengan demikian sesiapa sahaja yang cuba mencederakan mereka akan terbunuh. Mereka mempunyai kuasa untuk menutup langit supaya hujan tidak turun selama mereka mengisytiharkan perkhabaran Allah. Mereka juga berkuasa atas mata air untuk mengubah air menjadi darah; mereka juga berkuasa menimpakan segala macam malapetaka ke atas bumi, bila-bila masa mereka menghendakinya. Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka. Mayat mereka akan terlantar di jalan raya kota besar, tempat Tuhan mereka disalibkan. Kota itu diberikan nama kiasan Sodom atau Mesir. Orang dari semua negara, suku, bahasa, dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah, dan tidak mengizinkan mayat-mayat itu dikubur. Penduduk bumi akan bersukacita kerana kematian dua orang saksi ini. Mereka akan merayakannya dan saling mengirim hadiah, kerana kedua-dua orang nabi itu telah mendatangkan banyak kesusahan kepada umat manusia. Setelah tiga hari setengah, nafas daripada Allah yang memberikan hidup, memasuki mereka. Mereka pun bangkit, sehingga semua orang yang melihat mereka sangat ketakutan. Kemudian dua orang nabi itu mendengar suara lantang dari syurga berkata kepada mereka, “Marilah naik ke sini!” Di depan mata musuh mereka, kedua-dua orang nabi itu naik ke syurga dengan awan. Tepat pada masa itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Satu persepuluh kota itu musnah dan tujuh ribu orang terbunuh kerana gempa itu. Orang yang selebihnya ketakutan, lalu mereka memuji keagungan Allah di syurga. Bencana kedua sudah lalu. Tetapi lihatlah! Bencana ketiga akan segera datang. Kemudian malaikat ketujuh meniup trompetnya dan suara-suara lantang di syurga berkata, “Allah, Tuhan kita dan Penyelamat yang diutus-Nya mempunyai kuasa untuk memerintah dunia. Dia akan memerintah selama-lamanya!” Lalu dua puluh empat orang pemimpin yang duduk di atas takhta mereka di hadapan Allah, bersujud dan menyembah Allah. Mereka berkata, “Ya Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada dan yang sudah ada! Kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah menggunakan kuasa-Mu yang besar, dan mula memerintah! Orang yang tidak mengenal Engkau meradang, kerana telah tiba masanya Engkau meluahkan kemurkaan-Mu, dan masanya Engkau mengadili orang mati. Inilah masanya Engkau menghadiahi hamba-hamba-Mu para nabi itu, dan juga umat-Mu, semua orang yang hormat dan takut akan Engkau, baik orang besar mahupun orang biasa. Inilah masanya Engkau membinasakan mereka yang memusnahkan bumi!” Rumah Allah di syurga terbuka dan Tabut Perjanjian kelihatan di situ. Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh menggelegar dan bergemuruh, bumi bergoncang dan hujan batu turun dengan lebat.
WAHYU 11:1-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA dibrinyalah padaku sa’batang buloh spŭrti tongkat, maka bŭrdirilah mŭliekat itu sŭrta bŭrkata, Bangunlah, ukorlah ka’abah Allah, dan tŭmpat pŭrsŭmbahan, dan sagala orang yang sŭmbahyang didalamnya itu. Tŭtapi tinggalkanlah halaman yang diluar ka’abah itu, jangan diukor akan dia; kŭrna iya itu tŭlah dikurniakan kapada orang sŭsat, maka nŭgri yang suchi itu kŭlak akan dipijak pijak dibawah kaki marika itu ampat puloh dua bulan lamanya. Aku kŭlak akan mŭmbri kwasa kapada dua orang saksiku, maka marika itu kŭlak akan bŭrnabuat sa’ribu dua ratus anam puloh hari lamanya, sŭrta dŭngan mŭmakie kain karong. Maka iya itulah dua pohon ziet, dan dua kaki dian yang tŭrdiri dihalrat Tuhan bumi ini. Maka jikalau barang sa’orang mŭnyakitkan akan marika itu, bahwa akan kluar api deri dalam mulot kaduanya itu, akan mŭmakan habis sagala sŭtrunya: jikalau barang siapa mŭnyakitkan akan dia, maka dapat tiada dŭngan hal yang dŭmkianlah prinya iya akan dibunoh. Marika itulah ada bŭrkwasa mŭnutopkan langit, supaya jangan turon hujan slama iya bŭrnabuat; dan lagi ada bŭrkwasa atas sagala ayer supapa dijadikannya dia darah, dan mŭmalu bumi dŭngan sagala jŭnis bala, sŭbrapa kali dikahandakkinya. Hata apabila habislah kŭlak marika itu akan saksinya, maka binatang yang kluar deri dalam kluboran yang tiada dapat tŭrduga, itu kŭlak akan mŭmrangi marika itu, dan dialahkannya akan marika itu, sŭrta dibunohnya. Maka mayat mayat marika itu kŭlak, tŭrhantarlah dilorong lorong nŭgri yang bŭsar, yang bŭrnama pada umpama Sodom dan Masir, maka disanalah juga Tuhan kami tŭlah disalibkan. Ada orang orang yang deripada sagala kaum dan katuronan, dan bahsa dan bangsa itu kŭlak akan mŭlihat mayat mayatnya tŭngah ampat hari lamanya, maka tiada dibri kŭlak tanamkan akan mayat mayatnya itu. Adapun sagala orang yang dudok diatas muka bumi itu akan tŭrmasa atasnya, dŭngan bŭrsuka sukaan, sŭrta mŭmbri hadiah sa’orang akan sa’orang; tŭgal dua orang nabi itu mŭnyangsarakan marika itu yang diam diatas muka bumi. Maka kumdian deripada tŭngah ampat hari lamanya itu, maka Roh yang mŭnghidopkan deripada Allah masoklah kadalam marika itu, bŭrdirilah marika itu dŭngan kakinya; dan bŭrlakulah katakotan yang bŭsar atas sagala orang yang mŭlihat akan marika itu. Maka didŭngar ulih marika itu pula suatu swara yang bŭsar deri dalam shorga, katanya, Naiklah kamari. Maka naiklah marika itu kashorga diatas suatu awan, maka sagala sŭtrunya pun mŭmandanglah akan dia. Maka sama waktu itu juga jadilah suatu gŭmpa yang bŭsar, maka bahgian yang kasa’puloh deripada nŭgri itupun robohlah, lalu matilah tujoh ribu orang ulih gŭmpa itu; maka yang tinggalnya itupun tŭrkŭjutlah, sŭrta mŭmuliakanlah Allah yang dishorga. Shahadan bala yang kadua tŭlah lalu, maka sŭsungguhnya bala yang katiga akan datang dŭngan sŭgranya. Bŭrmula maka mŭliekat yang katujoh itu pun bŭrbunyilah; maka adalah bŭbrapa swara yang bŭsar dalam shorga, katanya, Bahwa krajaan krajaan dunia ini tŭlah mŭnjadi krajaan krajaan Tuhan kami dan Almasihnya; maka iya kŭlak akan mŭmrentahkan slama lamanya. Adapun dua puloh ampat orang tua tua yang dudok dihalrat Allah diatas krosinya itupun sujudlah sŭrta mŭnyŭmbah Allah; Katanya, Bahwa kami mŭnguchap shukorlah bagiemu, ya Tuhan yang maha bŭsar, yang ada, dan yang tŭlah ada, dan yang akan ada; tŭgal angkau tŭlah mŭngambil bagiemu kwasa yang bŭsar, sŭrta mŭmrentahkan. Maka sagala bangsa itu pun marahlah, dan morkamu pun tŭlah datanglah ka’atasnya, dan waktu mati, supaya patut marika itu dihukumkan, dan supaya angkau mŭmbri fahala pada sagala hambamu nabi nabi, dan kapada orang orang salih, dan orang orang yang takot akan namamu, baik kŭchil, baik bŭsar; maka supaya patutlah dibinasakan akan marika itu yang tŭlah mŭmbinasakan bumi. Lalu tŭrbukalah ka’abah Allah yang didalam shorga itu, maka klihatanlah dalam ka’abah itu tabot pŭrjanjian itu; maka kilat, dan swara swara, dan halalintar, dan gŭmpa, dan hujan batu yang bŭsar bŭsar jadilah.
WAHYU 11:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian aku diberi sebatang tongkat yang kelihatan seperti kayu pengukur. Lalu seorang berkata, “Bangkitlah, ukur bait Allah dan mazbah, serta hitunglah orang yang beribadat di situ. Tetapi jangan ukur halaman di luar, kerana bahagian itu telah diberikan kepada orang bangsa asing. Mereka akan melanyak kota suci selama empat puluh dua bulan. Aku akan memberikan kuasa kepada dua orang saksi-Ku dan mereka akan bernubuat selama seribu dua ratus enam puluh hari dengan memakai kain kabung.” Inilah dua pokok zaitun dan dua kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta. Jika sesiapa hendak mencederakan mereka, api akan keluar dari mulut mereka dan menghanguskan musuh mereka itu. Orang yang hendak mencederakan mereka itu mesti dibunuh sedemikian. Mereka mempunyai kuasa menutup langit, supaya hujan tidak turun sepanjang masa mereka bernubuat. Mereka berkuasa atas air dan dapat menukarkannya menjadi darah. Mereka juga berupaya menimpakan pelbagai wabak penyakit ke atas bumi sekerap yang dikehendaki mereka. Setelah mereka selesai membuat kesaksian, binatang buas dari dalam jurang itu akan memerangi, menewaskan dan membunuh mereka. Mayat mereka akan bergelimpangan di jalan raya kota agung yang dari segi rohani disebut Sodom dan Mesir, iaitu kota tempat Tuhan mereka disalib. Orang dari pelbagai kaum, suku, bahasa dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah dan tidak membenarkan mereka dikuburkan. Penghuni bumi ini akan bergembira, berpesta dan berkirim-kiriman hadiah, kerana kedua-dua nabi itu telah menyeksa mereka yang tinggal di bumi. Selepas tiga hari setengah, roh hayat daripada Allah memasuki mereka lalu mereka bangkit berdiri. Sekalian yang melihatnya amat ketakutan. Kedua-dua nabi itu mendengar suara lantang dari langit berkata, “Naiklah ke sini.” Lalu mereka naik ke langit di dalam awan, di hadapan mata musuh mereka. Pada ketika itu terjadilah gempa bumi yang dahsyat, memusnahkan sepersepuluh kota itu. Tujuh ribu orang terbunuh dalam gempa itu. Mereka yang masih hidup sungguh takut lalu memuliakan Allah yang berada di syurga. Bencana kedua telah berlalu. Ketahuilah, bencana ketiga akan segera menyusul. Kemudian malaikat ketujuh meniup sangkakalanya. Suara-suara lantang di syurga berkata, “Segala kerajaan di dunia ini telah menjadi kerajaan Tuhan kita dan kerajaan Kristus-Nya, dan Dia akan memerintah selama-lamanya!” Dua puluh empat tua-tua yang menghadap Allah yang bersemayam di atas takhta itu sujud menyembah Allah sambil berkata: “Kami bersyukur kepada-Mu, Ya Tuhan, Allah Maha Kuasa; yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang. Kerana Engkau telah melaksanakan kuasa-Mu yang besar lalu memerintah. Bangsa-bangsa asing marah, maka datanglah kemurkaan-Mu, dan masanya untuk orang mati dihakimi, dan Engkau memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Mu, para nabi dan orang salih, serta manusia kecil dan besar yang takut akan Nama-Mu. Dan Engkau membinasakan mereka yang membinasakan bumi.” Kemudian bait Allah dibuka di syurga, dan kelihatanlah tabut perjanjian-Nya, diiringi kilat, pelbagai suara, guruh, gempa bumi dan hujan batu yang dahsyat.