WAHYU 1:1-11

WAHYU 1:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Kitab ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Allah memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Allah. Kristus mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Yohanes, hamba-Nya semua peristiwa itu. Yohanes menceritakan segala yang telah dilihatnya itu. Inilah laporannya tentang perkhabaran daripada Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Berbahagialah orang yang membaca kitab ini kepada jemaah. Berbahagialah mereka yang mendengarkan perkhabaran nubuat ini serta taat kepada apa yang tertulis di dalam kitab ini, kerana tidak lama lagi semuanya ini akan berlaku. Daripada Yohanes kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia: Terimalah berkat dan kesejahteraan daripada Allah, iaitu Dia yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang, serta daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia. Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita. Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin! Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin! “Akulah yang pertama dan yang terakhir,” firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang. Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus. Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.”

WAHYU 1:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA inilah Wahi Isa Almasih, yang tŭlah dikurniakan Allah padanya, supaya mŭnunjokkan kapada sagala hambanya akan sagala pŭrkara yang dapat tiada akan jadi dŭngan sŭgranya; maka disurohkannya kapada mŭliekatnya mŭnyatakan kapada hambanya Yahya: Yang mŭnjadi saksi deri hal pŭrkataan Allah itu, dan yang disaksikan ulih Isa Almasih, dan deri hal sagala sŭsuatu yang tŭlah dilihatnya. Bŭrbahgialah kiranya orang yang mŭmbacha, dan sagala orang yang mŭnŭngar pun akan pŭrkataan nabuatan ini, sŭrta dipliharakannya akan sagala pŭrkara yang tŭrsurat dalamnya, kŭrna kutikanya tŭlah hampir adanya. Deripada YAHYA datang kapada tujoh sidang jŭmaah yang ada diAsia: bahwa nihmat, dan sŭjahtralah kiranya deripadanya yang ada, dan yang tŭlah ada, dan yang akan datang, dan deripada tujoh arwah yang ada dihadapan arash Allah; Dan deripada Isa Almasih saksi yang sŭtiawan itu adanya, dan anak sulong yang pŭrtama deripada matinya, dan pŭnghulu sagala raja yang dibumi, kapada yang mŭngasihi kami sŭrta mŭmbasoh kami deripada dosa kami dŭngan bŭrkat darahnya sŭndiri, Dan tŭlah mŭnjadikan kami raja, dan imam bagie Allah iya itu Ayahnya; biarlah kiranya kamuliaan, dan kwasa bagienya pada slama lamanya. Amin. Tenggoklah, iya datang diatas awan awan: dan sagala mata akan mŭlihat dia sŭrta orang orang yang tŭlah mŭnikam dia itupun, maka sagala bangsa orang dibumi pun akan mŭratap ulih sŭbabnya, sŭsungguhnya dŭmkian. Amin. Kata Tuhan, akulah Alif dan Ya, iya itu pŭrmulaan dan kasudahan, yang ada, yang tŭlah ada, dan yang akan datang, yang maha kwasa. Bahwa aku ini Yahya, dan lagi saudaramu, dan taulanmu dalam kasukaran, dan dalam krajaan, dan sabar Isa Almasih, tŭlah ada dalam pulau yang bŭrnama Patmos, kŭrna pŭrkataan Allah, dan kŭrna mŭnyaksikan Isa Almasih. Bahwa adalah aku ini dalam Roh iya itu pada hari Tuhan, dan mŭnŭngar deri bŭlakangku suatu swara spŭrti bunyi nafiri adanya. Katanya, Akulah Alif dan Ya, yang pŭrmulaan dan yang kasudahan: Maka barang yang angkau lihat, suratkanlah dalam suatu kitab, maka kirimkanlah kapada tujoh sidang jŭmaah yang ada diAsia; iya itu kapada Efesus, dan kapada Smyrna, dan kapada Pergamos, dan kapada Thieatira, dan kapada Sardis, dan kapada Filadalfia, dan kapada Laodikia.

WAHYU 1:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah wahyu Yesus Kristus yang dinyatakan Allah kepada-Nya supaya Dia menyampaikan kepada hamba-hamba-Nya segala yang pasti segera terjadi. Kristus menghantarkan malaikat-Nya untuk memberitahukan perkara-perkara itu kepada hamba-Nya Yohanes. Maka Yohanes pun bersaksi tentang semua yang telah dilihatnya iaitu Firman Allah dan kesaksian Yesus Kristus. Diberkatilah orang yang membaca kata-kata nubuat ini dan mendengarnya serta mematuhi apa yang tersurat dalamnya, kerana masanya sudah dekat. Daripada Yohanes kepada tujuh jemaah di Asia Kecil: Kasih kurnia dan kesejahteraan kepadamu daripada Allah, iaitu Dia yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang, juga daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, dan daripada Yesus Kristus, Saksi Setia. Dialah yang pertama dibangkitkan daripada kalangan orang mati dan Dialah Raja kepada sekalian raja dunia. Yesus mengasihi kita, maka Dia membebaskan kita daripada segala dosa kita dengan darah-Nya serta menjadikan kita suatu kerajaan, dan imam bagi Allah dan Bapa-Nya. Bagi-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin. Lihatlah, Dia datang dalam awan! Seluruh umat manusia akan melihat-Nya, termasuk mereka yang telah menikam Dia. Semua suku bangsa di bumi akan berkabung kerana Dia. Ya, tentu sekali. Amin. “Akulah Alfa dan Omega, Yang Pertama dan Yang Terakhir,” demikian firman Tuhan Allah, Yang Maha Kuasa, yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang. Aku, Yohanes, saudara dan temanmu yang turut serta dalam kesengsaraan, kerajaan dan ketabahan dalam Yesus, berada di Pulau Patmos kerana firman Allah dan kesaksian Yesus. Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.”