Wahyu 1:1-11

Wahyu 1:1-11 AVB

Inilah wahyu Yesus Kristus yang dinyatakan Allah kepada-Nya supaya Dia menyampaikan kepada hamba-hamba-Nya segala yang pasti segera terjadi. Kristus menghantarkan malaikat-Nya untuk memberitahukan perkara-perkara itu kepada hamba-Nya Yohanes. Maka Yohanes pun bersaksi tentang semua yang telah dilihatnya iaitu Firman Allah dan kesaksian Yesus Kristus. Diberkatilah orang yang membaca kata-kata nubuat ini dan mendengarnya serta mematuhi apa yang tersurat dalamnya, kerana masanya sudah dekat. Daripada Yohanes kepada tujuh jemaah di Asia Kecil: Kasih kurnia dan kesejahteraan kepadamu daripada Allah, iaitu Dia yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang, juga daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, dan daripada Yesus Kristus, Saksi Setia. Dialah yang pertama dibangkitkan daripada kalangan orang mati dan Dialah Raja kepada sekalian raja dunia. Yesus mengasihi kita, maka Dia membebaskan kita daripada segala dosa kita dengan darah-Nya serta menjadikan kita suatu kerajaan, dan imam bagi Allah dan Bapa-Nya. Bagi-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin. Lihatlah, Dia datang dalam awan! Seluruh umat manusia akan melihat-Nya, termasuk mereka yang telah menikam Dia. Semua suku bangsa di bumi akan berkabung kerana Dia. Ya, tentu sekali. Amin. “Akulah Alfa dan Omega, Yang Pertama dan Yang Terakhir,” demikian firman Tuhan Allah, Yang Maha Kuasa, yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang. Aku, Yohanes, saudara dan temanmu yang turut serta dalam kesengsaraan, kerajaan dan ketabahan dalam Yesus, berada di Pulau Patmos kerana firman Allah dan kesaksian Yesus. Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.”