MAZMUR 51:1-17
MAZMUR 51:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba. Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu; hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar. Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku. Aku mengakui kesalahanku; aku sentiasa sedar akan dosaku. Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja, dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat. Maka patutlah Engkau menghakimi aku; adillah Engkau ketika menghukum aku. Aku jahat sejak aku dilahirkan; aku berdosa sejak aku dalam kandungan. Engkau menghendaki ketulusan hati; penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu. Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih; basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji. Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan, agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan, akan menjadi gembira semula. Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku, dan hapuskanlah segala kejahatanku. Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku, baharuilah batinku agar menjadi teguh. Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu; janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku. Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu, dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu. Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa, dan mereka akan kembali kepada-Mu. Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku, lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu. Tolonglah aku berkata-kata, ya Tuhan, lalu aku akan memberi Engkau pujian.
MAZMUR 51:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kasihanilah aku, ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal; demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku. Bersihkan aku daripada kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku. Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku. Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu, maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan penghakiman-Mu tidak bercela. Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku mengandungkan aku. Engkau menghendaki kebenaran dalam diri; dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan. Bersihkan aku dengan hisop, supaya aku suci; basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji. Perdengarkan kegembiraan dan keriaan kepadaku; supaya tulang-tulangku yang Kaupatahkan dapat bersukacita. Sembunyikan wajah-Mu daripada dosaku dan hapuskan segala kejahatanku. Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah, dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku. Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu dan jangan ambil Roh Kudus-Mu daripadaku. Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah. Maka aku akan mengajar orang yang ingkar tentang jalan-Mu, dan orang berdosa akan kembali taat kepada-Mu. Selamatkan aku daripada kesalahan menumpahkan darah, ya Allah, Allah Penyelamatku, maka suaraku akan lantang menyanyikan perbenaran-Mu. Ya Tuhan, bukakan mulutku, aku akan mengisytiharkan puji-pujian bagi-Mu. Kalaulah Engkau bersukacita dengan korban, tentu kupersembahkan; Engkau tidak berkenan akan korban bakaran. Korban untuk Allah ialah hati yang hancur; hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kauremehkan.