MAZMUR 22:2-8
MAZMUR 22:2-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku? Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh, dan tidak menolong aku. Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak menyahut; aku berseru pada waktu malam, namun tidak juga mendapat ketenteraman. Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci, yang dipuji oleh Israel. Kepada-Mu nenek moyang kami percaya; mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka. Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya; mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan. Tetapi aku ini ulat, bukan manusia, yang dihina dan dicaci semua orang. Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku; mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala.
MAZMUR 22:2-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ya Allahku, aku meratap sepanjang siang, tetapi Engkau tidak mendengar, dan semalaman aku tidak berhenti merayu. Tetapi Engkau suci; bertakhta di atas puji-pujian umat Israel. Nenek moyang kami percaya kepada-Mu; mereka percaya dan Engkau menyelamatkan mereka. Mereka merayu kepada-Mu, lalu mereka diselamatkan; mereka percaya kepada-Mu, dan tidak kecewa. Tetapi aku makhluk melata, bukan manusia, dikeji dan dihina orang. Semua yang melihatku mentertawakanku; mereka mencaciku, menggeleng kepala, sambil berkata: “Dia percaya kepada TUHAN; biar TUHAN selamatkan dia. Biar TUHAN lepaskan dia, kerana TUHAN berkenan kepadanya.”