MAZMUR 22
22
Doa pada Waktu Kesusahan dan Lagu Pujian
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Rusa di Kala Fajar. Mazmur Daud.
2 Allahku, ya Allahku,
mengapakah Engkau meninggalkan aku?
Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh,
dan tidak menolong aku.
3Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah,
tetapi Engkau tidak menyahut;
aku berseru pada waktu malam,
namun tidak juga mendapat ketenteraman.
4Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci,
yang dipuji oleh Israel.
5Kepada-Mu nenek moyang kami percaya;
mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka.
6Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya;
mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan.
7Tetapi aku ini ulat, bukan manusia,
yang dihina dan dicaci semua orang.
8 Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku;
mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala.
9 Mereka berkata, “Kamu percaya kepada TUHAN,
tetapi mengapakah Dia tidak menyelamatkan kamu?
Jika TUHAN mengasihi kamu,
mengapakah Dia tidak menolong kamu?”
10Engkaulah, ya TUHAN, yang mengeluarkan aku dari kandungan ibuku,
dan ketika aku masih bayi, Engkaulah yang memelihara aku.
11Sejak lahir, aku bergantung kepada-Mu;
sejak dalam kandungan, Engkaulah Allahku.
12Janganlah jauhkan diri daripadaku.
Kesusahan sudah dekat,
dan tiada sesiapa pun yang membantu.
13Banyak musuh yang mengepung aku;
mereka semua mengelilingi aku,
seperti kerbau hutan dari negeri Basan.
14Mereka mengangakan mulut seperti singa,
hendak mengaum dan menerkam aku.
15Tenagaku hilang,
hilang seperti air yang tumpah.
Semua tulangku terkehel;
hatiku meleleh seperti lilin.
16Kerongkongku kering seperti debu,
dan lidahku melekat di lelangit.
Engkau tinggalkan aku di atas debu,
seperti orang yang sudah mati.
17Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku;
seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku;
mereka menyiat tangan serta kakiku.
18Semua tulangku kelihatan.
Musuh memandang aku sebagai tontonan;
19 mereka membahagi-bahagikan pakaianku
dan membuang undi untuk jubahku.
20Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku,
cepatlah datang untuk menolong aku.
21Selamatkanlah aku daripada pedang;
selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing.
22Aku tidak berdaya,
lepaskanlah aku
dari tanduk kerbau dan dari mulut singa.
23 Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu;
dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu.
24Pujilah Dia,
hai hamba-hamba TUHAN!
Hormatilah Dia,
hai keturunan Yakub;
sembahlah Dia,
hai umat Israel!
25Dia tidak memandang hina kepada orang tertindas
ataupun mengabaikan penderitaan mereka;
Dia tidak menjauhkan diri-Nya daripada mereka,
tetapi mendengar apabila mereka meminta pertolongan-Nya.
26Dalam perhimpunan besar
umat-Mu, aku akan memuji Engkau
kerana segala yang telah Engkau lakukan;
di hadapan semua orang yang menyembah Engkau
aku akan mempersembahkan korban yang aku janjikan.
27Orang miskin akan makan dengan puas hati;
mereka yang datang kepada TUHAN akan memuji Dia.
Semoga mereka makmur
selama-lamanya!
28Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya;
semua suku bangsa akan menyembah Dia.
29TUHAN itulah raja
dan Dia memerintah semua bangsa.
30Semua orang yang sombong akan sujud kepada-Nya;
semua insan akan berlutut di hadapan-Nya.
31Keturunan yang akan datang juga akan berbakti kepada-Nya;
manusia akan menceritakan Tuhan kepada keturunan mereka.
32Generasi yang akan datang akan diberitahu
bahawa TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya.
Terpilih Sekarang Ini:
MAZMUR 22: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.