MAZMUR 102:1-28
MAZMUR 102:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN. Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah seruanku minta pertolongan. Janganlah berpaling daripadaku ketika aku dalam kesusahan. Dengarlah apabila aku berseru, dan jawablah permintaanku dengan segera. Hidupku menghilang seperti asap; badanku seolah-olah terbakar. Aku layu seperti rumput kering, dan seleraku hilang. Aku mengerang dengan kuat; badanku kurus kering. Aku bagaikan burung liar di padang pasir, bagaikan burung hantu di tempat runtuhan. Aku tidak dapat tidur; aku bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah. Sepanjang hari musuh mencela aku; mereka yang mempermainkan aku menggunakan namaku untuk mengutuk. Abu menjadi makananku, dan minumanku bercampur air mata kerana kemurkaan-Mu yang menyala-nyala. Engkau telah mengangkat dan membuang aku. Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang; aku layu seperti rumput kering. Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya; semua keturunan akan mengingati Engkau. Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion; masanya sudah tiba untuk mengasihaninya; inilah masanya yang tepat. Walaupun Sion telah musnah, hamba-hamba-Mu mengasihinya; walaupun Sion telah runtuh, mereka mengasihaninya. Bangsa-bangsa akan takut kepada TUHAN; semua raja di bumi akan takut terhadap kuasa-Nya. Apabila TUHAN membina Sion semula, Dia akan menyatakan keagungan-Nya. Dia akan mendengar doa umat-Nya yang papa, dan tidak menolak permohonan mereka. Tulislah semua perbuatan TUHAN untuk keturunan yang akan datang, supaya generasi yang akan datang dapat memuji Dia. TUHAN memandang ke bawah dari tempat-Nya yang suci, Dia memandang dari syurga ke bumi, untuk mendengar keluhan orang tawanan, dan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman mati. Oleh itu nama-Nya akan diisytiharkan di Sion; Dia akan dipuji-puji di Yerusalem, ketika bangsa dan kerajaan berkumpul untuk menyembah TUHAN. TUHAN melemahkan aku semasa aku masih muda; Dia memendekkan umurku. Ya Allah, janganlah ambil nyawaku, sebelum lanjut usiaku. Engkau hidup selama-lamanya; dahulu Engkau menciptakan bumi, dan langit pun karya tangan-Mu sendiri. Semuanya akan lenyap, tetapi Engkau tetap ada; semuanya akan usang seperti kain. Engkau membuang semuanya seperti baju lama; lalu semuanya akan lenyap. Tetapi Engkau tetap sama, hidup-Mu tidak akan berakhir.
MAZMUR 102:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengarlah doaku, ya TUHAN; dan biarlah seruanku datang kepada-Mu. Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan. Condongkan telinga-Mu kepadaku; ketika aku berseru, jawablah aku segera. Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap; dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang. Hatiku sakit dan layu seperti rumput; sehingga aku terlupa makan rotiku. Kerana aku mengerang, tulangku melekat ke kulitku. Aku seperti burung hantu di gurun, seperti burung hantu di runtuhan. Aku tidak dapat melelapkan mata; berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah. Musuhku mencelaku sepanjang hari; mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku. Aku telah makan abu seperti roti dan minumanku bercampur air mata kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu, kerana Engkau telah mengangkatku, kemudian menghumbankan aku. Hidupku seperti bayang-bayang memanjang; dan aku layu seperti rumput. Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan kekal selama-lamanya; dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman. Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion, kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba. Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya; dan berasa kasihan akan debunya. Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama TUHAN, dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu. TUHAN akan membina Sion Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya. Dia akan menimbangkan doa orang papa; dan tidak akan menghina permohonan mereka. Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang, supaya umat yang belum lahir akan memuji TUHAN: “Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya, dari syurga TUHAN memerhatikan bumi, untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan, untuk membebaskan mereka yang dihukum mati.” Untuk mengisytiharkan nama TUHAN di Sion dan pujian untuk-Nya di Yerusalem apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada TUHAN. Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup; Dia memendekkan umurku. Aku berkata: “Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan. Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu. Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian. Seperti jubah Engkau akan menggulungnya, seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan. Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan; dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu.”