Mazmur 102

102
Doa seorang derita apabila dia lemah dan mencurahkan kesusahannya kepada TUHAN.
1Dengarlah doaku, ya TUHAN;
dan biarlah seruanku datang kepada-Mu.
2Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan.
Condongkan telinga-Mu kepadaku;
ketika aku berseru, jawablah aku segera.
3Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap;
dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang.
4Hatiku sakit dan layu seperti rumput;
sehingga aku terlupa makan rotiku.
5Kerana aku mengerang,
tulangku melekat ke kulitku.
6Aku seperti burung hantu di gurun,
seperti burung hantu di runtuhan.
7Aku tidak dapat melelapkan mata;
berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah.
8Musuhku mencelaku sepanjang hari;
mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku.
9Aku telah makan abu seperti roti
dan minumanku bercampur air mata
10kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu,
kerana Engkau telah mengangkatku, kemudian menghumbankan aku.
11Hidupku seperti bayang-bayang memanjang;
dan aku layu seperti rumput.
12Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan kekal selama-lamanya;
dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman.
13Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion,
kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba.
14Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya;
dan berasa kasihan akan debunya.
15Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama TUHAN,
dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu.
16TUHAN akan membina Sion
Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya.
17Dia akan menimbangkan doa orang papa;
dan tidak akan menghina permohonan mereka.
18Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang,
supaya umat yang belum lahir akan memuji TUHAN:
19“Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya,
dari syurga TUHAN memerhatikan bumi,
20untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan,
untuk membebaskan mereka yang dihukum mati.”
21Untuk mengisytiharkan nama TUHAN di Sion
dan pujian untuk-Nya di Yerusalem
22apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada TUHAN.
23Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup;
Dia memendekkan umurku.
24Aku berkata:
“Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan.
25 # Ibr 1:10-12. Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi,
dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu.
26Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal;
ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian.
Seperti jubah Engkau akan menggulungnya,
seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah.
27Tetapi Engkau tetap sama,
dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan.
28Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan;
dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu.”

Terpilih Sekarang Ini:

Mazmur 102: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk