Dengarlah doaku, ya TUHAN; dan biarlah seruanku datang kepada-Mu. Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan. Condongkan telinga-Mu kepadaku; ketika aku berseru, jawablah aku segera. Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap; dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang. Hatiku sakit dan layu seperti rumput; sehingga aku terlupa makan rotiku. Kerana aku mengerang, tulangku melekat ke kulitku. Aku seperti burung hantu di gurun, seperti burung hantu di runtuhan. Aku tidak dapat melelapkan mata; berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah. Musuhku mencelaku sepanjang hari; mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku. Aku telah makan abu seperti roti dan minumanku bercampur air mata kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu, kerana Engkau telah mengangkatku, kemudian menghumbankan aku. Hidupku seperti bayang-bayang memanjang; dan aku layu seperti rumput. Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan kekal selama-lamanya; dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman. Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion, kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba. Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya; dan berasa kasihan akan debunya. Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama TUHAN, dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu. TUHAN akan membina Sion Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya. Dia akan menimbangkan doa orang papa; dan tidak akan menghina permohonan mereka. Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang, supaya umat yang belum lahir akan memuji TUHAN: “Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya, dari syurga TUHAN memerhatikan bumi, untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan, untuk membebaskan mereka yang dihukum mati.” Untuk mengisytiharkan nama TUHAN di Sion dan pujian untuk-Nya di Yerusalem apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada TUHAN. Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup; Dia memendekkan umurku. Aku berkata: “Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan. Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu. Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian. Seperti jubah Engkau akan menggulungnya, seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan. Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan; dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu.”
Baca Mazmur 102
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Mazmur 102:1-28
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video