FILEMON 1:8-22

FILEMON 1:8-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan. Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan. Aku berbuat demikian, meskipun aku ini duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia. Aku mengajukan suatu permintaan bagi pihak Onesimus, yang aku anggap seperti anak sendiri, kerana dia juga percaya kepada Kristus. Semasa di penjara, aku menjadi seperti bapa kepadanya. Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu, tetapi bagiku juga. Aku menghantar dia kembali kepadamu, dia yang sangat aku kasihi. Sebenarnya aku ingin dia tetap di sini bersama-sama aku untuk membantu aku bagi pihakmu, selama aku dipenjarakan kerana mengisytiharkan Berita Baik. Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju. Mungkin Onesimus berpisah daripada kamu untuk sementara, supaya kamu boleh mendapatnya kembali untuk seterusnya. Sekarang dia bukan sahaja abdi, tetapi lebih daripada itu. Dia saudara Kristian yang dikasihi. Dia sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan! Oleh itu, jika kamu menganggap aku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambut aku. Jika dia sudah bersalah atau berhutang kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. Lihatlah, kata-kata berikut aku tulis sendiri: Aku, Paulus akan melunasi semuanya. (Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku kehidupanmu sebagai orang Kristian.) Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakanlah hatiku sebagai sesama saudara yang percaya kepada Kristus. Semasa menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan mengabulkan permintaanku. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu akan melakukan hal yang lebih daripada permintaanku. Sementara itu, tolong sediakan bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua dan membolehkan aku kembali kepada kamu.

FILEMON 1:8-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sŭbab itu sungguh pun aku bulih jadi lebih brani dalam Almasih akan amanatkan kapada angkau deri hal pŭrkara yang bŭrguna itu; Akan tŭtapi ulih sŭbab kasih, tŭrlebih baik aku minta padamu, sŭbab angkau bagie aku juga Paulus sa’orang tua, danlagi sa’orang yang tŭrbŭlunggu kŭrna Isa Almasih. Maka kupinta kapadamu deri kŭrna Onesimus, anakku yang tŭlah kupranakkan dalam blungguku, Yang pada masa tŭlah lalu itu tiada bŭrguna padamu, akan tŭtapi skarang bŭrgunalah iya padamu dan padaku. Iya tŭlah kusurohkan pulang pula, maka sŭbab itu handaklah kiranya angkau mŭnŭrima akan dia, iya itu buah hatiku sŭndiri, Yang handak kumŭnahankan sŭrtaku, supaya iya akan bŭrkhodmat kapadaku gantimu, didalam blungguku deri kŭrna Injil. Akan tŭtapi dŭngan tiada kŭtahuimu, tiadalah aku mahu bŭrbuat barang suatu, supaya kŭbajikanmu itu jangan jadi dŭngan paksa, mŭlainkan dŭngan kŭrelaan. Kŭrna barang kali sŭbab itulah iya tŭlah bŭrchŭrie deripadamu sŭbŭntar sahja lamanya, supaya angkau bulih mŭnaroh dia kŭkal. Maka bukannya skarang spŭrti sa’orang hamba, mŭlainkan tŭrlebih deripada hamba, iya itu sa’orang saudara yang kŭkasih, istimewa bagieku, tŭtapi brapa lagi kŭlak bagiemu, baik dalam daging dan darah, baik dalam Tuhan. Maka sŭbab itu jikalau kiranya angkau mŭmbilangkan aku ini sa’orang taulan, trimalah akan dia itu spŭrti aku sŭndiri. Maka jikalau ada salahnya, atau hutang apa apa padamu, masokkanlah itu dalam kira kiraku. Bahwa aku ini Paulus tŭlah mŭnulis itu dŭngan tanganku sŭndiri, maka aku akan mŭmbayar itu: sungguh pun aku tiada mŭngatakan padamu bŭtapa angkau ada bŭrhutang padaku, iya itupun dirimu sŭndiri. Bahkan saudara, biarlah aku ini bŭrulih kasukaan deripadamu bagie Tuhan: sŭgarkanlah hatiku bagie Tuhan. Sŭbab pŭrchayalah aku angkau kŭlak mŭnurot, aku kirimkan surat ini padamu, kŭrna aku tŭlah kŭtahuilah angkau akan bŭrbuat tŭrlebih pula deripada pŭrkataanku. Maka dalam itupun sŭdiakanlah bagieku suatu tŭmpat mŭnumpang: kŭrna haraplah aku dŭngan bŭrkat doamu aku akan dikŭmbalikan padamu.

FILEMON 1:8-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, aku mempunyai kebebasan dalam Kristus untuk memerintahkan kamu membuat sesuatu yang harus dilakukan. Namun demikian, kerana aku mengasihimu, aku hanya meminta kamu membuatnya. Aku Paulus, seorang yang sudah tua dan kini dipenjarakan kerana Kristus Yesus. Aku membuat permintaan ini bagi pihak Onesimus, yang telah kujadikan sebagai anakku sendiri sewaktu aku di dalam penjara. Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu malah juga bagiku. Aku menghantar kembali kepadamu Onesimus yang amat kukasihi. Sebenarnya aku mahu dia tetap bersamaku di sini untuk membantuku bagi pihakmu sepanjang tempoh aku dipenjarakan kerana menyebarkan Injil. Namun demikian, aku tidak mahu memaksa kamu membantuku. Biarlah bantuan itu kamu hulurkan dengan rela hati. Oleh itu, aku tidak mahu berbuat apa-apa tanpa persetujuanmu. Mungkin Onesimus meninggalkanmu untuk sementara waktu supaya kamu mendapatnya kembali untuk selama-lamanya. Kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi. Dia amat bererti bagiku, dan tentulah lebih bererti bagimu, baik sebagai hamba mahupun sebagai saudara dalam Tuhan. Oleh itu, sekiranya kamu menganggapku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambutku. Jika ada kesalahannya atau hutangnya kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. Lihatlah, kata-kata yang berikut kuterakan dengan tulisanku sendiri: Aku, Paulus, akan menyelesaikan segala-galanya — Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku dirimu sendiri. Saudaraku, semoga aku mendapat pertolonganmu dalam Tuhan. Segarkanlah hatiku dalam Kristus. Ketika menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan menunaikan permintaanku. Malah sebenarnya aku tahu bahawa lebih daripada yang kuminta itu pun akan kamu lakukan. Sementara itu, sediakanlah bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua semoga aku kembali kepadamu.