Filemon 1
1
1Daripada Paulus yang dipenjarakan kerana Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius,
Kepada Filemon, sahabat kami dan teman sekerja yang dikasihi, 2#Kol 4:17.kepada saudari kita Apfia, dan kepada rakan seperjuangan kita Arkhipus, serta kepada jemaah yang berhimpun di rumahmu:
3Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera.
Ucapan syukur
4Saudaraku Filemon, aku sentiasa bersyukur kepada Allahku dan menyebut namamu dalam doaku, 5kerana aku mendengar tentang imanmu kepada Tuhan Yesus, dan kasihmu terhadap semua orang salih. 6Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang beriman kepada Kristus akan membawa pengertian yang lebih mendalam tentang segala yang baik yang kita miliki dalam Kristus. 7Saudaraku Filemon, kasihmu sungguh menggembirakan dan menggalakkan hatiku kerana kamu telah menyegarkan hati sekalian orang salih.
Rayuan Paulus bagi pihak Onesimus
8Oleh itu, aku mempunyai kebebasan dalam Kristus untuk memerintahkan kamu membuat sesuatu yang harus dilakukan. 9Namun demikian, kerana aku mengasihimu, aku hanya meminta kamu membuatnya. Aku Paulus, seorang yang sudah tua dan kini dipenjarakan kerana Kristus Yesus. 10#Kol 4:9.Aku membuat permintaan ini bagi pihak Onesimus, yang telah kujadikan sebagai anakku sendiri sewaktu aku di dalam penjara. 11Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu malah juga bagiku.
12Aku menghantar kembali kepadamu Onesimus yang amat kukasihi. 13Sebenarnya aku mahu dia tetap bersamaku di sini untuk membantuku bagi pihakmu sepanjang tempoh aku dipenjarakan kerana menyebarkan Injil. 14Namun demikian, aku tidak mahu memaksa kamu membantuku. Biarlah bantuan itu kamu hulurkan dengan rela hati. Oleh itu, aku tidak mahu berbuat apa-apa tanpa persetujuanmu.
15Mungkin Onesimus meninggalkanmu untuk sementara waktu supaya kamu mendapatnya kembali untuk selama-lamanya. 16Kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi. Dia amat bererti bagiku, dan tentulah lebih bererti bagimu, baik sebagai hamba mahupun sebagai saudara dalam Tuhan.
17Oleh itu, sekiranya kamu menganggapku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambutku. 18Jika ada kesalahannya atau hutangnya kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. 19Lihatlah, kata-kata yang berikut kuterakan dengan tulisanku sendiri: Aku, Paulus, akan menyelesaikan segala-galanya — Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku dirimu sendiri. 20Saudaraku, semoga aku mendapat pertolonganmu dalam Tuhan. Segarkanlah hatiku dalam Kristus.
21Ketika menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan menunaikan permintaanku. Malah sebenarnya aku tahu bahawa lebih daripada yang kuminta itu pun akan kamu lakukan. 22Sementara itu, sediakanlah bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua semoga aku kembali kepadamu.
Ucapan akhir Paulus
23 # Kol 1:7; 4:12. Epafras, yang dipenjarakan bersamaku kerana Kristus Yesus, berkirim salam kepadamu. 24#Kis 12:12,25; 13:13; 15:37-39; Kol 4:10. Kis 19:29; 27:2; Kol 4:10. Kol 4:14; 2Tim 4:10. Kol 4:14; 2Tim 4:11.Juga sambutlah salam rakan-rakan seperjuanganku: Markus, Aristarkhus, Demas dan Lukas.
25Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertai roh kamu semua.
Terpilih Sekarang Ini:
Filemon 1: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited