MARKUS 9:14-29

MARKUS 9:14-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sudah berapa lamakah dia begini?” Bapanya menjawab, “Sejak dia masih kanak-kanak lagi! Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!” “Apa katamu? Jika guru dapat?” jawab Yesus. “Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!” Bapa itu segera berseru, “Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!” Yesus melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, “Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!” Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, “Dia sudah mati!” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri. Kemudian Yesus masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, “Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa.”

MARKUS 9:14-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka apabila datanglah Isa kapada murid muridnya, maka dilihatnya tŭrlalu banyak bŭlatantara bŭrklilingnya, dan khatib khatib itu pun bŭrbantah bantahlah kapadanya. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan dia, dŭngan sŭgranya hieranlah marika itu, sŭrta bŭrlari larilah datang kapadanya mŭmbri sŭlam akan dia. Maka bŭrtanyalah Isa kapada khatib khatib itu, Apakah pŭrbantahan kamu dŭngan marika itu. Maka dijawablah ulih sa’orang deripada bŭlatantara itu, katanya, Tuhan, adalah sahya mŭmbawa kapadamu sa’orang anakku laki laki yang tŭrkŭna hantu bisu. Maka apabila barang kŭmana dibawanya akan dia, dipuntang pantingkannya akan dia, sŭrta bŭrbuehlah mulotnya, dan mŭngkŭrtak giginya, sŭrta mŭnjadilah iya makin susut; maka aku katakan kapada murid muridmu, supaya dibuangkannya akan dia, tŭtapi tiadalah bulih marika itu. Maka jawab Isa kapada murid muridnya, katanya, Hie bangsa yang korang iman, brapalah lamanya aku ini ada bŭrsama sama dŭngan angkau, dan brapa lamanya aku bulih mŭnahani akan dikau? Bawalah iya itu kapadaku. Maka dibawalah ulih marika itu akan dia, maka apa bila dilihatnya akan dia, maka dŭngan sŭgranya dipuntang pantingkannya akan budak itu, lalu jatohlah iya kabumi sŭrta mŭngglumang dŭngan bueh. Maka dipintalah ulih Isa kapada bapanya, Ada brapakah lamanya sudah budak ini jadi bŭgini? Maka jawabnya, Deri kŭchilnya. Maka kŭrap kali dijatohkannya kŭdalam api, dan kŭdalam ayer, handak dibinasakannya akan dia, tŭtapi jikalau kiranya bulih angkau mŭmbuat barang apa apa akan dia, kalau ada kasihan akan kami tulonglah akan kami. Maka kata Isa kapadanya, Jikalau kiranya bulih angkau pŭrchaya, sagala pŭrkara pun bulihlah jadi kapada orang yang pŭrchaya. Maka dŭngan sŭgranyalah bapa budak itu pun bŭrtriaklah, sambil bŭrkata dŭngan ayer matanya, Tuhan, aku pŭrchaya, tulonglah akan imanku yang lŭmah itu. Maka apabila dilihat ulih Isa akan orang itu bŭrlari lari datang bŭrsama sama, ditŭngkingkannya akan hantu yang jahat itu katanya kapadanya, Angkau hantu kŭlu dan tuli, aku kahandaki angkau kluarlah deripadanya, maka jangan lagi masok kapadanya. Maka bŭrtriaklah hantu itu, sŭrta dipuntang pantingkannya sangat akan dia, lalu kluarlah iya deripadanya. Maka adalah budak itu spŭrti laku orang mati, maka sampielah kata orang yang sŭbanyak itu, Sudah mati dia. Tŭtapi dipŭgang Isa tangannya, diangkatkannya, maka bangunlah iya. Maka apabila datanglah Isa kadalam rumah, maka murid muridnya pun bŭrtanyalah akan dia diam diam, Mŭngapakah tiada bulih kami kluarkan dia? Maka katanya kapada marika itu, Adapun macham ini tiada bulih dikluarkan dŭngan chuma chuma, mŭlainkan dŭngan doa dan bŭrpuasa.

MARKUS 9:14-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus. Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya. Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.” Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus. Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi. Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.” Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.” Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!” Ketika Yesus melihat orang ramai datang berkerumun, Dia membentak roh jahat itu, “Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.” Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, “Dia sudah mati.” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri. Selepas itu, Yesus masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?” Yesus menjawab, “Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apa-apa pun, kecuali dengan doa.”