Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus. Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya. Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?”
Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”
Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.” Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus.
Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi. Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.”
Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.”
Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!”
Ketika Yesus melihat orang ramai datang berkerumun, Dia membentak roh jahat itu, “Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.”
Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, “Dia sudah mati.” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.
Selepas itu, Yesus masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?”
Yesus menjawab, “Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apa-apa pun, kecuali dengan doa.”