MARKUS 9:1-29

MARKUS 9:1-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus berkata lagi, “Ketahuilah! Ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah dengan penuh kuasa!” Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu. Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. Petrus berkata kepada Yesus, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut. Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!” Mereka melihat di sekeliling, tetapi tidak nampak sesiapa pun bersama-sama mereka kecuali Yesus. Ketika mereka turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu nampak, selagi Anak Manusia belum bangkit daripada kematian.” Mereka menurut perintah-Nya, tetapi mula mempersoalkan makna “bangkit daripada kematian”. Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang? Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.” Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sudah berapa lamakah dia begini?” Bapanya menjawab, “Sejak dia masih kanak-kanak lagi! Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!” “Apa katamu? Jika guru dapat?” jawab Yesus. “Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!” Bapa itu segera berseru, “Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!” Yesus melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, “Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!” Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, “Dia sudah mati!” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri. Kemudian Yesus masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjawab, “Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa.”

MARKUS 9:1-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA kata Isa kapada marika itu, Bahwa sasunggohnya aku bŭrkata kapadamu, maka adalah sŭtŭngah deripada orang orang yang ada bŭrdiri disini yang tiada mŭrasai mati sampie marika itu kŭlak mŭlihat krajaan Allah itu datang dŭngan kwasanya. ¶ Hata kumdian deripada anam hari, maka dibawalah ulih Isa akan Petros, dan Yakob, dan Yahya, dipimpinnya akan marika itu naik ka’atas sa’buah gunong yang tinggi, bŭrsunyi sunyilah marika itu, maka bŭrubahlah iya dihadapan marika itu. Maka pakieannya pun jadilah bŭrchahya tŭrlalu putehnya spŭrti thalj, maka suatu tukang pun tiadalah yang bulih mŭmbuat tŭrlebih puteh deripada itu diatas bumi ini. Maka klihatanlah kapada marika itu Ilias dŭngan Musa, maka marika itu bŭrtutor dŭngan Isa. Lalu kata Petros kapada Isa, Tuhan, baiklah kiranya bagie kita diam disini, maka biarlah kami mŭmbuatkan tiga khemah, sa’buah bagiemu, dan sa’buah bagie Musa, dan sa’buah bagie Ilias. Kŭrna tiadalah dikŭtahuinya apa katanya, kŭrna marika itu ada sangat kŭtakotan. Maka datanglah suatu awan mŭngŭlubongi akan marika itu, maka datanglah suatu suara kluar deripada awan itu, katanya, Inilah anakku yang kukasih, dŭngarlah barang katanya. Maka tiba tiba apabila dilihatnya ulih marika itu bŭrkliling, maka sa’orang pun tiada tampak lagi, hanya Isa sahja bŭrsama sama dŭngan marika itu. Maka tŭngah handak turonlah marika itu deri gunong itu, maka dipinta Isa kapada marika itu, supaya jangan dikatakan ulih marika itu kapada sa’orang pun barang yang tŭlah dilihatnya, sampie Anak manusia itu bŭrbangkit deripada mati. Maka disimpanlah ulih marika itu pŭnglihatan itu dalam dirinya sŭndiri; maka bŭrtanya tanaylah sa’orang dŭngan sa’orang, apakah grangan artinya bŭrbangkit deripada mati itu? ¶ Maka ditanyalah ulih marika itu akan dia, katanya, Mŭngapakah khatib khatib itu bŭrkata, bahwa patutlah Ilias itu datang mula mula? Maka jawabnya sambil bŭrkata kapada marika itu, Adapun Ilias itu sasunggohnya datang mula mula, maka iya tŭlah mŭmbaikki sagala pŭrkara, maka bagimana tŭlah tŭrtulis derihal Anak manusia, maka dapat tiada iya kŭlak mŭnanggong banyak pŭrkara, maka iya kŭlak akan ditolakkan. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, bahwa Ilias itu sasunggohnya sudah datang, maka tŭlah dipŭrbuat ulih marika itu akan dia barang apa sukanya, spŭrti yang tŭrtulis deri halnya. ¶ Maka apabila datanglah Isa kapada murid muridnya, maka dilihatnya tŭrlalu banyak bŭlatantara bŭrklilingnya, dan khatib khatib itu pun bŭrbantah bantahlah kapadanya. Maka apabila dilihat ulih marika itu akan dia, dŭngan sŭgranya hieranlah marika itu, sŭrta bŭrlari larilah datang kapadanya mŭmbri sŭlam akan dia. Maka bŭrtanyalah Isa kapada khatib khatib itu, Apakah pŭrbantahan kamu dŭngan marika itu. Maka dijawablah ulih sa’orang deripada bŭlatantara itu, katanya, Tuhan, adalah sahya mŭmbawa kapadamu sa’orang anakku laki laki yang tŭrkŭna hantu bisu. Maka apabila barang kŭmana dibawanya akan dia, dipuntang pantingkannya akan dia, sŭrta bŭrbuehlah mulotnya, dan mŭngkŭrtak giginya, sŭrta mŭnjadilah iya makin susut; maka aku katakan kapada murid muridmu, supaya dibuangkannya akan dia, tŭtapi tiadalah bulih marika itu. Maka jawab Isa kapada murid muridnya, katanya, Hie bangsa yang korang iman, brapalah lamanya aku ini ada bŭrsama sama dŭngan angkau, dan brapa lamanya aku bulih mŭnahani akan dikau? Bawalah iya itu kapadaku. Maka dibawalah ulih marika itu akan dia, maka apa bila dilihatnya akan dia, maka dŭngan sŭgranya dipuntang pantingkannya akan budak itu, lalu jatohlah iya kabumi sŭrta mŭngglumang dŭngan bueh. Maka dipintalah ulih Isa kapada bapanya, Ada brapakah lamanya sudah budak ini jadi bŭgini? Maka jawabnya, Deri kŭchilnya. Maka kŭrap kali dijatohkannya kŭdalam api, dan kŭdalam ayer, handak dibinasakannya akan dia, tŭtapi jikalau kiranya bulih angkau mŭmbuat barang apa apa akan dia, kalau ada kasihan akan kami tulonglah akan kami. Maka kata Isa kapadanya, Jikalau kiranya bulih angkau pŭrchaya, sagala pŭrkara pun bulihlah jadi kapada orang yang pŭrchaya. Maka dŭngan sŭgranyalah bapa budak itu pun bŭrtriaklah, sambil bŭrkata dŭngan ayer matanya, Tuhan, aku pŭrchaya, tulonglah akan imanku yang lŭmah itu. Maka apabila dilihat ulih Isa akan orang itu bŭrlari lari datang bŭrsama sama, ditŭngkingkannya akan hantu yang jahat itu katanya kapadanya, Angkau hantu kŭlu dan tuli, aku kahandaki angkau kluarlah deripadanya, maka jangan lagi masok kapadanya. Maka bŭrtriaklah hantu itu, sŭrta dipuntang pantingkannya sangat akan dia, lalu kluarlah iya deripadanya. Maka adalah budak itu spŭrti laku orang mati, maka sampielah kata orang yang sŭbanyak itu, Sudah mati dia. Tŭtapi dipŭgang Isa tangannya, diangkatkannya, maka bangunlah iya. Maka apabila datanglah Isa kadalam rumah, maka murid muridnya pun bŭrtanyalah akan dia diam diam, Mŭngapakah tiada bulih kami kluarkan dia? Maka katanya kapada marika itu, Adapun macham ini tiada bulih dikluarkan dŭngan chuma chuma, mŭlainkan dŭngan doa dan bŭrpuasa.

MARKUS 9:1-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus berkata lagi, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.” Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi. Di situ Yesus berubah rupa di hadapan mata mereka. Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu. Elia dan Musa muncul pula di hadapan mereka lalu bercakap dengan Yesus. Lalu Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah — satu untuk Engkau, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana mereka amat ketakutan.) Segumpal awan meliputi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!” Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Yesus. Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah dilihat mereka, sehingga Anak Manusia bangkit daripada kematian. Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud “bangkit daripada kematian.” Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapa ahli Taurat berkata Elia mesti datang dahulu?” Yesus menjawab, “Benar, Elia akan datang dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Anak Manusia, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan? Aku berkata kepadamu, Elia sudah pun datang dan orang berbuat sesuka hati kepadanya, seperti yang tersurat tentang dirinya.” Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus. Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya. Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.” Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus. Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi. Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.” Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.” Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!” Ketika Yesus melihat orang ramai datang berkerumun, Dia membentak roh jahat itu, “Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.” Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, “Dia sudah mati.” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri. Selepas itu, Yesus masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?” Yesus menjawab, “Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apa-apa pun, kecuali dengan doa.”