Markus 9:1-29

Markus 9:1-29 AVB

Yesus berkata lagi, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.” Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi. Di situ Yesus berubah rupa di hadapan mata mereka. Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu. Elia dan Musa muncul pula di hadapan mereka lalu bercakap dengan Yesus. Lalu Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah — satu untuk Engkau, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana mereka amat ketakutan.) Segumpal awan meliputi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!” Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Yesus. Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah dilihat mereka, sehingga Anak Manusia bangkit daripada kematian. Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud “bangkit daripada kematian.” Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapa ahli Taurat berkata Elia mesti datang dahulu?” Yesus menjawab, “Benar, Elia akan datang dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Anak Manusia, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan? Aku berkata kepadamu, Elia sudah pun datang dan orang berbuat sesuka hati kepadanya, seperti yang tersurat tentang dirinya.” Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus. Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya. Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?” Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu. Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.” Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus. Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih. Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi. Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.” Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.” Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!” Ketika Yesus melihat orang ramai datang berkerumun, Dia membentak roh jahat itu, “Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.” Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, “Dia sudah mati.” Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri. Selepas itu, Yesus masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?” Yesus menjawab, “Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apa-apa pun, kecuali dengan doa.”