MARKUS 8:31-38
MARKUS 8:31-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia. Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!” Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak. Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci.”
MARKUS 8:31-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Dimulainya mŭngajar akan marika itu, adapun Anak manusia itu dapat tiada mŭrasai sŭngsara, sŭrta ditolakkan ulih orang tua tua, dan kapala kapala Imam, dan khatib khatib, sŭrta dibunohnya, maka kumdian deripada tiga hari kŭlak iya akan bŭrbangkit pula. Maka dikatakannya akan pŭrkataan itu nyata nyata, maka diambil ulih Petros akan dia, sŭrta dimulainya tŭngkingkan dia. Tŭtapi apabila bŭrpalinglah iya sŭrta mŭlihat akan murid muridnya, maka ditŭngkingnya akan Petros, katanya, Lalu angkau deri hadapanku Shietan: kŭrna tiada angkau indahkan barang pŭrkara pŭrkara yang jadi deripada Allah, mŭlainkan pŭrkara pŭrkara yang jadi deri pada manusia. ¶ Maka apabila sudahlah dipanggilnya orang orang itu kapadanya sŭrta dŭngan murid muridnya pun, maka katanya kapada marika itu, Barang siapa yang handak mŭngikot aku, maka biarlah iya mŭnyangkali akan dirinya sŭndiri, sŭrta mŭngangkat salibnya, lalu mŭngikot aku. Kŭrna barang siapa yang handak mŭmliharakan jiwanya, maka iya akan hilang dia; tŭtapi barang siapa akan mŭnghilangkan jiwanya ulih sŭbab aku, dan sŭbab Injil pun, maka iya itu akan tŭrplihara; Kŭrna apakah kŭlak kauntongan bagie sa’orang manusia jikalau iya akan mŭndapat sagala dunia ini, tŭtapi jiwanya sŭdiri hilang? Atau apakah sa’orang manusia mŭmbri ganti jiwanya itu? Maka sŭbab itu, jikalau kiranya barang siapa malu mŭnŭrima akan daku, dan akan pŭrkataanku dalam bangsa pŭrsundalan dan bŭrdosa ini, maka kapadanyalah kŭlak akan Anak manusia pun malu mŭnŭrima, apabila iya datang kŭlak dalam kamulian Ayahnya, sŭrta maliekat maliekatnya yang suchi itu.
MARKUS 8:31-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yesus mula mengajar mereka bahawa Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula. Yesus mengatakan perkara ini dengan terus terang. Oleh itu, Petrus menarik Yesus ke tepi lalu menegur Dia. Yesus berpaling memandang murid-murid-Nya lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.” Setelah itu, Yesus memanggil murid-murid-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu. Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Dapatkah hidup itu ditukar dengan apa pun? Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku dalam kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Anak Manusia juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.”