MARKUS 8:1-30

MARKUS 8:1-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka. Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian. Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga. Semua orang makan sehingga kenyang - ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang. Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!” Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik. Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu. Yesus memperingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul? Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Dua belas.” Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Tujuh.” Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?” Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?” Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.” Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali. Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.” Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!” Lalu Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.”

MARKUS 8:1-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SHAHADAN maka adalah pada hari itu kumpolan orang tŭrlalu banyak, maka suatu pun tiada apa handak dimakannya, maka dipanggillah ulih Isa akan murid muridnya sŭrta katanya kapada marika itu: Kasihanlah aku akan kumpelan ini kŭrna marika itu sudah bŭrsama sama dŭngan aku tiga hari, maka suatu pun tiada apa handak dimakannya. Maka jikalau kiranya kusurohkan marika itu balik karumahnya dŭngan laparnya, maka nanti marika itu kŭlak lŭteh dijalan, kŭrna banyak deripada marika itu datang deri jauh. Maka dijawab ulih murid muridnya akan dia, Bagimanakah bulih sa’orang mŭngŭnyangkan orang orang ini dŭngan roti dalam padang bŭlantara ini? Maka ditanyalah ulih Isa kapada marika itu, Ada bŭrapakah roti kapada kamu? Maka jawab marika itu, Tujoh. Maka disurohkannyalah akan sagala orang orang itu duduk ditanah, lalu diambilnyalah tujoh buah roti itu sŭrta mŭnguchap shukor, maka dipŭchahkannya sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya disurohnya taroh dihadapan marika itu, maka ditarohkan marika itu akan roti itu dihadapan marika itu. Maka adalah kapada marika itu sŭdikit ikan kŭchil kŭchil, maka dibŭrkatinya akan dia, sŭrta disurohnya lŭtakkan itupun dihadapan marika itu. Kumdian dimakannyalah ulih marika itu sampie kŭnyang, maka diangkat ulih marika itu sisa sisa yang tŭrtinggal tujoh bakol. Adapun orang yang makan itu adalah kira kira ampat ribu; disurohkannyalah marika itu pulang. ¶ Maka masoklah iya kadalam prahu bŭsŭrta dŭngan murid muridnya, lalu datanglah iya kadalam antara tanah Dalmanutha. Maka datanglah orang Farisia, mŭmulai bŭrsuwal kapada Isa, mŭminta kapadanya suatu alamat deri langit, handak mŭnchobai akan dia. Maka bŭrkŭlohlah iya dalam hatinya, katanya, Mŭngaapakah bangsa ini mŭnchari suatu alamat? Maka sasunggoh nya aku bŭrkata kapadamu, tiada suatu alamat pun akan dibri kapada bangsa ini. Maka ditinggalkannyalah marika itu, lalu masok pula kadalam prahu sŭrta pŭrgilah iya kasŭbrang sana. ¶ Adapun murid muridnya itu tŭlah tŭrlupalah mŭmbawa roti, mŭlainkan ada kapada marika itu dalam prahu sa’buah roti sahja. Maka dipŭsan ulih Isa akan marika itu, katanya, Pŭrhatikan, jagalah baik baik kamu deripada ragi orang orang Farisia, dan deripada ragi Herodis. Maka disangkakan ulih marika itu diantara sama sŭndirinya, katanya, inilah ulih sŭbab kita tiada roti. Shahadan apabila dikŭtahuilah ulih Isa itu, maka katanya kapada marika itu, Mŭngapa kamu sangka ulih sŭbab kamu tiada roti? Bŭlomkah kamu mŭndapat kanyataannya, atau mŭngarti? Hati kamu kŭraskah lagi? Kamu ada bŭrmata, tiadakah kamu mŭlihat? dan ada bŭrtŭlinga, tiadakah kamu mŭnŭngar? maka tiadakah kamu ingat? Maka apabila aku pŭchahkan limah buah roti itu diantara lima ribu orang, brapa bakolkah kamu mŭngangkat remah remahnya? Maka kata marika itu kapadanya, Dua blas. Maka apabila tujoh buah roti diantara ampat ribu orang itu brapa bakolkah pŭnoh dŭngan remah remahnya kamu angkat? Maka kata marika itu, Tujoh. Maka katanya kapada marika itu, Bagimanakah ini kamu tiada mŭngarti? ¶ Maka datanglah iya kaBethseida; maka dibawalah ulih marika itu sa’orang orang buta kapadanya, supaya dijamahnya akan dia. Maka dipŭgangnyalah akan orang buta deri tangan, lalu dipimpinnya kluar nŭgri; maka sŭtlah sudah diludahnya akan matanya, lalu dilŭtakkannya tangannya kaatasnya, sŭrta ditanya akan dia, kalau ada iya mŭlihat apa apa. Maka tŭngadahlah iya, lalu katanya, aku mŭlihat orang spŭrti pohon pohon bŭrjalan. Kumdian deripada itu, dibubohnya pula tangannya kaatas matanya disurohnya tŭngadah: maka sŭmbohlah iya, maka dilihatnya skalian orang dŭngan trangnya. Maka disurohnya akan dia kŭmbali karumahnya, katanya, Jangan angkau pŭrgi kadalam nŭgri, janganlah angkau katakan kapada sa’orang pun dalam nŭgri. ¶ Maka Isa sŭrta murid muridnya pun kluarlah pŭrgi kapada nŭgri Kisaria Filipi: maka dijalan, bŭrtanyalah iya kapada murid muridnya, katanya kapada marika itu, Siapakah orang orang kata aku ini? Maka jawab marika itu, Yahya Pŭmbaptisa: tŭtapi kata sŭtŭngah, Elias; dan kata orang lain, sa’orang deripada nabi nabi. Maka katanya kapada marika itu, Tŭtapi kamu kata siapakah aku ini? Maka jawab Petros sŭrta katanya kapadanya, Bahwa angkaulah dia Almasih. Maka dipintanya kapada marika itu, supaya jangan dikatakan ulih marika itu kapada sa’orang pun derihalnya.

MARKUS 8:1-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata, “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.” Para murid Yesus menjawab, “Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari roti yang cukup untuk semua orang ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?” “Tujuh buku,” jawab mereka. Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu, Dia memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk dihidangkan. Mereka pun memberikannya kepada orang ramai. Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Yesus menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga. Mereka pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh. Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Yesus pun menyuruh mereka pulang. Selepas itu, Yesus terus menaiki perahu bersama murid-murid-Nya pergi ke daerah Dalmanuta. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta-Nya menunjukkan suatu tanda dari syurga. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepada orang zaman ini.” Yesus meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang. Para murid Yesus terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti. Yesus mengingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah hatimu? Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” “Dua belas,” jawab mereka. “Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” “Tujuh,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kamu masih belum faham lagi?” Yesus dan murid-murid-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus dan memohon agar Dia menyentuhnya. Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Yesus meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, “Adakah kamu melihat apa-apa?” Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.” Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh. Yesus pun menyuruhnya pulang sambil berkata, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.” Setelah itu, Yesus dan murid-murid-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang, Aku ini siapa?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata, Yohanes Pembaptis; yang lain berkata, Elia; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.” “Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus.” Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang diri-Nya.