MARKUS 15:1-41

MARKUS 15:1-41 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada pagi-pagi sekali, para ketua imam, pemimpin masyarakat Yahudi, guru Taurat, dan anggota-anggota lain daripada Majlis Agama bermesyuarat untuk membuat beberapa rancangan. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus. Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.” Ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus. Lalu Pilatus bertanya lagi kepada Yesus, “Tidak mahukah kamu menjawab? Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu!” Sekali lagi Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus merasa hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu, seorang bernama Barabas ada di dalam penjara bersama dengan semua pemberontak lain yang telah melakukan pembunuhan pada masa kerusuhan. Ketika orang ramai berkumpul dan seperti biasa mula meminta Pilatus membebaskan seorang tahanan, Pilatus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan raja orang Yahudi ini?” Pilatus tahu betul bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Tetapi para ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas. Pilatus berkata lagi kepada orang ramai itu, “Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?” Mereka berteriak, “Salibkan dia!” Pilatus bertanya, “Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?” Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib. Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain. Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus. Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, “Daulat raja orang Yahudi!” Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.) Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak.” Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi. Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Raja Orang Yahudi.” Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. [ Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, “Dia dianggap sebagai penjahat.”] Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!” Para ketua imam dan guru Taurat juga memperolokkan Yesus. Mereka bercakap sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Jika dia raja Israel, Penyelamat yang diutus oleh Allah, biarlah dia turun dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepadanya!” Kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu lalu dihulurkannya ke mulut Yesus sambil berkata, “Tunggu! Mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menurunkan dia dari salib.” Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir. Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, “Memang benar orang ini Anak Allah!” Di situ juga ada beberapa orang wanita yang menyaksikan semuanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maria Magdalena, serta Maria, ibu Yakobus yang muda dan Yoses. Merekalah wanita yang mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea. Di situ juga ada banyak wanita lain yang telah datang ke Yerusalem bersama-sama Yesus.

MARKUS 15:1-41 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

HATA maka sŭtlah ka’esokkan harinya, pada pagi, maka kŭpala kŭpala imam itu pun mŭmbuatlah suatu mŭjlis bichara dŭngan orang tua tua, dan khatib khatib, dan sŭmua orang orang bichara, maka Isa diikat, dibawalah ulih marika itu pŭrgi, lalu disŭrahkannya akan dia kapada Pilatus. Maka ditanya ulih Pilatus akan dia, Angkaukah raja orang Yahudi? Maka dijawabnya sŭrta bŭrkata kapadanya, Spŭrti kata kamu itu. Maka kŭpala kŭpala imam itu mŭnudoh akan dia atas bŭbrapa pŭrkara, maka suatu pun tiada dijawabnya. Maka bŭrtanya pula Pilatus, katanya, Tiadakah angkau mŭnjawab suatu pun? Tengoklah bŭbrapa banyak marika itu mŭmbri saksi mŭlawan akan dikau. Tŭtapi suatu pun tiada dijawab Isa, sampie Pilatus pun hieranlah. Maka adapun pada hari raya itu dilŭpaskannya kapada marika itu sa’orang orang dalam pŭnjara, barang siapa yang dikahandaki ulih marika itu. Maka adalah disana sa’orang yang bŭrnama Bŭraba, yang ada tŭrikat dŭngan orang orang yang tŭlah bŭrbuat dŭrhaka sama sama dia, iya itu tŭlah mŭmbunoh orang dalam dŭrhakanya itu. Maka bŭlatantara itu pun bŭrtriaklah kuat kuat, mŭmulai mŭminta kapadanya bŭrbuat spŭrti yang tŭlah dipŭrbuatnya slalu kapada marika itu. Tŭtapi disahut ulih Pilatus kapada marika itu, katanya, Mahukah kamu supaya aku lŭpaskan bagie kamu raja orang Yahudi ini? Kŭrna iya mŭngŭtahui kŭpala kŭpala imam itu tŭlah mŭnyŭrahkan Isa dŭngan dŭngkinya. Tŭtapi dihasut ulih kŭpala imam akan kaum itu supaya baik dilŭpaskannya Bŭraba bagie marika itu. Maka Pilatus mŭnjawab pula kapada marika itu, Apakah kahandak kamu, supaya aku pŭrbuat kapada orang yang kamu kata raja orang Yahudi itu? Maka bŭrtriaklah pula marika itu kuat kuat, Salibkanlah akan dia. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah Pilatus kapada marika itu, Mŭngapa, apakah jahat yang tŭlah dipŭrbuatnya? Maka makinlah bŭrtriaklah marika itu sangat sangat, Salibkanlah akan dia. Maka dŭngan hal yang dŭmkian Pilatus itu pun handak mŭmuaskan kaum itu, dilŭpaskannyalah akan Bŭraba kapadanya, lalu disŭrahkannya Isa akan disalibkan, sŭtlah sudah disŭsahnya akan dia. Maka dibawalah ulih rayat akan dia dibalerong yang bŭrnama Pretorium, maka dihimponkannyalah sŭmuanya pasukan. Maka dipakiekan ulih marika itu akan dia baju ungu, maka dianyamkannyalah suatu mahakota deripada duri, lalu dikŭnakannya dikŭpalanya. Lalu dimulainya mŭmbri sŭlam akan dia, Hie raja orang Yahudi. Maka dipalu ulih marika itu kŭpalanya dŭngan sa’batang buloh, lalu diludahinya akan dia, sŭrta bŭrtŭlot mŭnyŭmbah akan dia. Maka apabila sudah diolok olokkan ulih marika itu akan dia, ditanggalkanlah baju ungu itu deripadanya, lalu dikŭnakannya pakieannya sŭndiri, maka dibawanya kluar akan dia handak disalibkan. Maka dipaksalah ulih marika itu akan Simon mŭngangkat kayu salibnya, iya itu orang Kirenian, yang lalu datang deri dalam nŭgri, iya itu bapa Askandar, dan Rufus. Maka dibawalah ulih marika itu akan Isa kapada tŭmpat yang bŭrnama Golgotha, yang tŭrsalin artinya, tŭmpat tŭngkorak. Maka dibrilah ulih marika itu akan dia minum ayer anggor yang tŭrchampor dŭngan mor, tŭtapi tiadalah ditrimanya. Maka apabila sudah disalibkan ulih marika itu akan dia, maka dibahgikannyalah akan pakie pakieannya dibuangnya undi diatasnya, mana yang patut diambil ulih masing masing orang. Maka pada jam yang katiga, disalibkanlah ulih marika itu akan dia. Maka surat tudohannya dituliskannya diatasnya, RAJA ORANG YAHUDI. Maka adalah bŭrsama sama dŭngan dia disalibkan ulih marika itu, dua orang pŭnyamun, sa’orang disŭblah kanannya, dan yang lain disŭblah kirinya. Maka kitab pun tŭlah gŭnaplah katanya, Iya tŭlah tŭrbilang dŭngan orang orang dŭrahka. Maka barang orang yang lalu lalang mŭnista akan dia, sambil mŭnggunchang kŭpalanya, katanya, Hie angkau yang mŭmbinasakan akan kaabah dan mŭmbangunkan akan dia dalam tiga hari. Lŭpaskanlah dirimu sŭndiri turun deri salib itu. Maka kŭpala kŭpala imam itupun mŭngolok olokkan katanya, sama sŭndirinya sŭrta dŭngan khatib khatib, Iya tŭlah mŭlŭpaskan orang orang lain lain, akan dirinya sŭndiri tiada bulih dilŭpaskannya. Biarlah Almasih, raja orang Israil itu turun skarang deri salib, supaya kami mŭlihat dan pŭrchaya; maka orang yang disalibkan bŭrsama sama dŭngan dia itupun mŭnista akan dia. Maka apabila sampielah jam yang ka’anam, maka datanglah gŭlap kapada sagala tŭmpat sampie kapada jam yang kasŭmbilan; Maka pada jam yang kasŭmbilan itu, Isa pun bŭrtriaklah dŭngan nyaring swaranya katanya, Ilie, Ilie lama sabahthani, yang tŭrsalin artinya, Allahku, Allahku, mŭngapakah angkau mŭninggalkan aku? Maka sŭtŭngah orang yang ada bŭrdiri dŭkat, apabila didŭngarnya itu, katanya, tengoklah iya mŭmanggil Ilias. Maka bŭrlarilah sa’orang diisinya chuka pŭnoh dalam lumot karang, dan dibubohkannya pada sŭbatang buloh, dibrikannya akan dia minum, katanya biarkanlah dia, biar kita tengok kalau datang Ilias mŭnurohkan dia. Maka Isa pun bŭrtriaklah dŭngan nyaring swaranya, lalu putuslah nyawanya. Maka tirie kaabah pun chareklah bŭlah dua deri atasnya sampie kŭbawah. ¶ Maka apabila pŭnghulu sa’ratus orang yang bŭrdiri bŭrsŭbrangan dŭngan dia itu, mŭlihat iya bŭrtriak bŭgitu kras sŭraya putus nyawanya, katanya, Sŭbŭnar bŭnar orang ini Anak Allah. Maka adalah disana pŭrampuan pŭrampuan pun mŭlihat deri jauh, maka diantaranya itu ada Mŭriam Magdalani, dan Mŭriam ibu Yakob kŭchil, dan Yuso, dan Salomi: (Yang tŭlah mŭngikot kapada Isa tŭtkala iya diGalilia dan tŭlah bŭrkhodmat akan dia) dan banyaklah pŭrampuan yang lain lain pun yang tŭlah datang bŭrsama sama dŭngan Isa kaJerusalem.

MARKUS 15:1-41 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, ahli Taurat dan seluruh Majlis Agama. Kemudian mereka mengikat Yesus, membawa-Nya pergi dan menyerahkan-Nya kepada Pilatus. Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah seperti katamu.” Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya. Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, “Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?” Tetapi Yesus masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan. Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan dari penjara seorang yang diminta oleh mereka. Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu. Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang dari penjara seperti yang biasa dilakukannya. Pilatus bertanya, “Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu Raja orang Yahudi?” oleh sebab dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka. Pilatus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil Raja orang Yahudi?” Mereka berseru lagi dengan kuatnya, “Salibkan Dia!” Kata Pilatus kepada mereka, “Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?” Tetapi mereka semakin kuat berseru, “Salibkan Dia!” Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib. Kemudian para askar membawa-Nya ke dewan istana yang dipanggil Praetorium, lalu menghimpunkan seluruh pasukan tentera yang ada di situ. Mereka mengenakan jubah ungu pada tubuh-Nya, dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala-Nya. Kemudian mereka menyindir-Nya, “Daulat Tuanku, Raja orang Yahudi!” Mereka memukul kepala-Nya dengan mensiang, meludahi-Nya, kemudian tunduk menyembah-Nya. Setelah mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya. Lalu mereka membawa-Nya untuk disalib. Ketika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Aleksander dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Yesus. Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak). Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur mir tetapi Dia enggan meminumnya. Setelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Mereka menyalib-Nya pada jam ketiga. Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: Raja orang Yahudi. Mereka menyalib dua orang perompak bersama Yesus, seorang di kanan dan seorang di kiri-Nya. Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Dan Dia digolongkan dengan penjahat.” Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari! Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!” Begitu jugalah ketua-ketua imam dan ahli Taurat turut memperolok-olokkan Yesus. Mereka berkata sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri! Kiranya Kristus ini, Raja Israel, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!” Orang yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya. Pada jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. Pada jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” Ertinya, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia.” Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur masam. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Yesus untuk minum, sambil berkata, “Kita menunggu, kalau-kalau Elia datang menurunkan-Nya dari salib.” Yesus berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir. Sejurus kemudian, tirai di dalam Bait Suci terbelah dua, dari atas hingga ke bawah. Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!” Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena, serta Maria ibu Yakobus Muda dan Yoses, serta Salome. Mereka wanita yang mengikut dan menolong Yesus ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Yesus ke Yerusalem.