Pada pagi-pagi sekali, para ketua imam, pemimpin masyarakat Yahudi, guru Taurat, dan anggota-anggota lain daripada Majlis Agama bermesyuarat untuk membuat beberapa rancangan. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus. Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?”
Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.”
Ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus. Lalu Pilatus bertanya lagi kepada Yesus, “Tidak mahukah kamu menjawab? Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu!”
Sekali lagi Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus merasa hairan.
Pada tiap-tiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu, seorang bernama Barabas ada di dalam penjara bersama dengan semua pemberontak lain yang telah melakukan pembunuhan pada masa kerusuhan. Ketika orang ramai berkumpul dan seperti biasa mula meminta Pilatus membebaskan seorang tahanan, Pilatus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan raja orang Yahudi ini?” Pilatus tahu betul bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.
Tetapi para ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas. Pilatus berkata lagi kepada orang ramai itu, “Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?”
Mereka berteriak, “Salibkan dia!”
Pilatus bertanya, “Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?”
Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”
Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib.
Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain. Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus. Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, “Daulat raja orang Yahudi!” Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.
Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.) Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak.” Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi. Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Raja Orang Yahudi.” Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. [ Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, “Dia dianggap sebagai penjahat.”]
Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!”
Para ketua imam dan guru Taurat juga memperolokkan Yesus. Mereka bercakap sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Jika dia raja Israel, Penyelamat yang diutus oleh Allah, biarlah dia turun dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepadanya!”
Kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia.
Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”
Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu lalu dihulurkannya ke mulut Yesus sambil berkata, “Tunggu! Mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menurunkan dia dari salib.”
Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir.
Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, “Memang benar orang ini Anak Allah!”
Di situ juga ada beberapa orang wanita yang menyaksikan semuanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maria Magdalena, serta Maria, ibu Yakobus yang muda dan Yoses. Merekalah wanita yang mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea. Di situ juga ada banyak wanita lain yang telah datang ke Yerusalem bersama-sama Yesus.