MARKUS 14:43-65

MARKUS 14:43-65 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!” Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.” Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang. Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Imam Agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul. Petrus mengikut dari jauh lalu masuk ke halaman rumah Imam Agung itu. Dia duduk berdiang dengan pengawal-pengawal. Para ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan. Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus. Mereka berkata, “Kami mendengar orang ini berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.’ ” Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan. Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?” Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, “Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?” Yesus menjawab, “Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!” Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, “Kita tidak memerlukan saksi lagi! Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?” Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati. Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia.

MARKUS 14:43-65 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka dŭngan sŭrta mŭrta sŭlagi iya bŭrchakap, maka datanglah Yudas yang didalam dua blas murid itu, maka adalah bŭsŭrta dŭngan dia bŭlatŭntara tŭrlalu banyak dŭngan pŭdang, dan tombak, iya itu deripada kŭpala kŭpala imam, dan khatib khatib, dan orang tua tua. Maka orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu itu tŭlah mŭmbri suatu tandah kapada marika itu, katanya, Kapada barang siapa aku akan mŭnchium, iya itulah dia; tangkaplah, bawalah akan dia baik baik. Maka sŭrta iya tŭlah datang, lalu ditujunya akan Isa, sŭrta katanya, Guru Guru; lalu dichiumnya akan dia. Maka marika itu skalian pun mŭmbubohlah tangan akan dia, lalu ditangkapnya. Maka adalah sa’orang yang bŭrdiri dŭkat itu, mŭnghunaslah pŭdangnya, lalu diparangkannya kapada sa’orang hamba imam yang bŭsar, lalu putuslah tŭlinganya. Maka kata Isa kapadanya, Kŭdatangan kamu ini kluar spŭrti mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang pŭdang, dan tombak tombak, handak mŭnangkap aku? Maka adalah pada tiap tiap hari aku ada bŭsŭrta dŭngan kamu dalam ka’abah mŭngajar, tiada kamu mŭnangkap aku, tŭtapi dapat tiada kitab itu tŭlah gŭnaplah. Maka skalian marika itu pun mŭninggalkanlah akan dia, lalu lari. Maka adalah sa’orang orang muda yang mŭngikot akan Isa, mŭnyangkotkan sa’lie kain khasa ditubohnya yang bŭrtlanjang itu, maka ditangkaplah ulih orang orang muda itu akan dia. Maka ditanggalkannyalah akan kain puteh, lalu larilah iya dŭngan bŭrtlanjang. ¶ Maka marika itu pun mŭmbawalah akan Isa kapada imam yang bŭsar, maka adalah disana bŭrsama sama dŭngan dia, bŭrhimponlah sagala kŭpala kŭpala imam, dan orang tua tua, dan khatib khatib. Maka adalah Petros itu mŭngikot akan dia jauh deri blakang itu pun sampie kapada mahaligie imam, maka dudoklah iya bŭrsama sama dŭngan hamba hamba itu mŭngganggang tubohnya dŭkat api itu. Maka kŭpala kŭpala imam, dan sagala orang orang bichara itu pun mŭncharilah saksi akan mŭlawan Isa, supaya dibunohnya akan dia; maka tiadalah didapatinya. Kŭrna adalah banyak yang mŭnjadi saksi dusta mŭlawan akan dia, tŭtapi saksinya itu tiadalah stuju sa’orang dŭngan sa’orang. Maka bŭrbangkitlah sa’orang anu yang mŭnjadi saksi dusta mŭlawan akan dia katanya; Adalah kami mŭnŭngar iya kata, Aku nanti mŭmbinasakan ka’abah ini yang tŭlah dipŭrbuat dŭngan tangan, maka dalam tiga hari aku bulih mŭmbangunkan yang lain, yang dipŭrbuat bukan dŭngan tangan. Tŭtapi dŭmkian juga tiada saksi saksi marika itu stuju bŭrsama sama. Maka imam bŭsar itu pun bŭrdirilah ditŭngah tŭngah, lalu bŭrtanya kapada Isa, katanya, Tiadakah angkau mŭnjawab suatu pun, apakah yang saksi saksi ini mŭnudoh akan dikau? Tŭtapi diamlah iya, maka suatu pun tiada dijawabnya. Ditanya ulih imam bŭsar itu pula akan dia, sŭrta bŭrkata kapadanya, Angkaukah Almasih anak bŭrkat itu? Maka kata Isa, Akulah, maka kamu kŭlak akan mŭlihat Anak manusia itu dudok disŭblah kanan yang bŭrkwasa, datang dalam awan awan dilangit. Sŭtlah itu maka imam bŭsar itu pun mŭngoyakkan kain bajunya, sŭrta bŭrkata, Apa guna lagi kapada kita mŭnchari saksi saksi. Kamu tŭlah mŭnŭngar hujat ini, apakah kamu fikir? Maka marika itu skalian pun mŭnŭntukan iya salah patut mati. Maka ada orang yang mŭmulai mŭludahi akan dia, dan mŭnutopi mukanya, dan ditumboknya akan dia, sŭrta bŭrkata kapadanya, Nabuatkanlah; maka hamba hamba itu pun mŭnamparlah akan dia.

MARKUS 14:43-65 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada murid-Nya yang dua belas itu, iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua. Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.” Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Yesus sambil berkata, “Rabbi!” lalu mencium-Nya. Mereka pun menangkap Yesus dan membawa-Nya pergi. Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. Yesus berkata kepada mereka, “Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Setiap hari Aku dalam kalanganmu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi yang tersurat dalam Kitab Suci mestilah terlaksana.” Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya dan masing-masing melarikan diri. Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya, lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang. Yesus dibawa kepada imam besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan ahli-ahli Taurat. Petrus mengikut Yesus dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah imam besar, dan duduk dalam kalangan hamba, berdiang di situ. Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya, tetapi mereka tidak berjaya. Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah. Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata, “Kami telah mendengar Dia berkata, ‘Aku akan membinasakan Bait Suci yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina Bait Suci yang diperbuat tanpa tangan.’ ” Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah. Imam besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?” Tetapi Yesus berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam besar itu bertanya lagi kepada-Nya, “Adakah Kamu Kristus, Anak Allah Yang Termulia?” Yesus menjawab, “Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.” Imam besar itu lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Adakah kita perlukan saksi lagi? Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?” Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh. Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, “Bernubuatlah!” Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.