MARKUS 12:1-27

MARKUS 12:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.” Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!’ ” Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus. Beberapa orang Farisi dan anggota golongan Herodes diutus untuk memerangkap Yesus dengan beberapa pertanyaan. Mereka datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur dan tidak menghiraukan pendapat orang lain. Guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita membayarnya atau tidak?” Yesus mengetahui kemunafikan mereka. Dia menjawab, “Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Cuba perlihatkan sekeping wang perak kepada-Ku.” Mereka memberikan sekeping wang perak kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. “Jika demikian,” kata Yesus, “berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, lalu berikan apa yang dimiliki oleh Allah kepada Allah.” Mereka kagum mendengar kata-kata Yesus. Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) “Guru,” kata mereka, “Musa memberikan hukum ini kepada kami: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. Lalu yang kedua berkahwin dengan balunya, tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga, dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Tujuh orang adik-beradik itu berkahwin dengan wanita yang sama, lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya wanita itu sendiri meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Tahukah kamu apa sebabnya? Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga, mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!”

MARKUS 12:1-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA dimulainyalah bŭrtutor kapada marika itu dŭngan pŭrumpamaan. Adalah sa’orang anu itu mŭmbuat suatu kŭbon anggor, maka dibubohnyalah pagar bŭrklilingnya, maka digalinya suatu tŭmpat akan apitan anggor itu, sŭrta dibangunkannya suatu mŭnara, maka disewakannyalah kapada orang kŭbon, lalu pŭrgilah iya kapada sa’buah nŭgri yang jauh. Maka pada musimnya, disurohnyalah kapada orang kŭbon itu sa’orang hambanya, supaya bulih mŭnŭrima deripada orang kŭbon itu buah deripada kŭbonnya itu. Maka ditangkap ulih marika itu akan dia, sŭrta dipalunya, lalu dihalaukannya dŭngan kosongnya. Maka disurohkannya pula kapada marika itu sa’orang hambanya yang lain, maka ulih marika itu dilemparnya dŭngan batu akan dia, sŭrta dilukakannya dikŭpalanya, lalu dihalaukannya akan dia, sŭrta ditanganninya dŭngan kŭlakuan yang tiada malu. Maka disurohkannya pula yang lain, maka dibunoh ulih marika itu akan dia, dan banyak yang lain lain, sŭtŭngah dipukolnya, dan sŭtŭngah dibunohnya. Maka adalah bagienya lagi sa’orang anak laki laki yang dikasihinya sangat, maka pada akhirnya disurohkannya akan dia kapada marika itu, sŭraya katanya, Marika itu kŭlak akan mŭnghormati anakku itu. Tŭtapi kata orang kŭbon itu sama sŭndirinya, Inilah warethnya, marilah biar kita bunoh akan dia, maka pusaka itu kŭlak jadilah kita punya. Maka diambil ulih marika itu akan dia sŭrta dibunohnya, dan dibuangkannya diluar kŭbon anggor itu. Maka ulih sŭbab itu, apakah yang patut dipŭrbuat ulih tuan yang ampunya kŭbon anggor itu? Maka iya kŭlak akan datang mŭmbinasakan orang orang kŭbon itu, sŭrta kŭbon anggor itupun akan dibrikannya kapada orang orang lain. Maka tiadakah kamu mŭmbacha kitab? Adapun batu yang ditolakkan ulih tukang mŭmbuat rumah itu, iya itu mŭnjadi kŭpala pŭnjuru. Bahwa inilah pŭrbuatan Tuhan, maka iya itu hieranlah pada mata kami. ¶ Maka dichari jalan handak ditangkap ulih marika itu akan dia, tŭtapi takot akan kaum itu, kŭrna dikŭtahui ulih marika itu iya mŭngatakan pŭrumpamaan itu mŭlawan akan marika itu; maka ditinggalkanlah akan dia, lalu pŭrgilah marika itu. Maka disurohkanlah ulih marika itu kapada Isa, orang Farisia, dan orang Herodian akan mŭnangkap dia dŭngan pŭrkataannya. Maka apabila datanglah marika itu, maka katanya kapada Isa, Guru, bahwa kami kŭtahui angkau bŭnar, dan tiada indahkan sa’orang pun, kŭrna angkau tiada mŭmandang muka manusia, mŭlainkan mŭngajar jalan Allah dŭngan yang bŭnar. Adakah halal mŭmbri chukie kapada Kiesar atau tidak? Patutkah kami mŭmbayar atau tidak? Tŭtapi dikŭtahui Isa akan munafiknya itu, lalu katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu mŭnchoba akan daku? Bawalah satu dinar itu kapadaku, supaya kulihat itu. Maka dibawalah ulih marika itu. Maka katanya kapada marika itu, Siapakah ampunya gambar dan tulisan ini? Maka kata marika itu kapadanya, Kiesar. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Brikanlah kapada Kiesar barang yang Kiesar punya, dan kapada Allah barang yang Allah punya. Maka hieranlah marika itu akan dia. ¶ Sŭtlah itu maka datanglah kapadanya, orang orang Sadukia yang bŭrkata tiada kŭlak kŭbangkitan pada hari kiamat; maka ditanyalah ulih marika itu kapada Isa, katanya; Guru, bahwa Musa tŭlah mŭnyuratkan kapada kami, jikalau saudara sa’orang mati, dan tiada mŭninggalkan anak anak, maka patutkah saudaranya itu mŭngambil istrinya, supaya mŭmbangkitkan bŭnih saudaranya? Maka adalah orang tujoh bŭrsaudara, maka yang pŭrtama adalah bŭrbini, dan tŭtkala iya mati tiada mŭninggalkan bŭnih: Maka yang kadua pula mŭngambil pŭrampuan itu, lalu iya mati dŭngan tiada mŭninggalkan barang bŭnih; maka yang katiga itu pun dŭmkianlah. Maka katujohnya tŭlah mŭngambil akan pŭrampuan itu tiada mŭninggalkan bŭnih, maka pada akhirnya skalian itu, pŭrampuan itu pun matilah. Maka pada hari kiamat apabila marika itu kŭlak bŭrbangkit, siapakah diantara marika itu yang ampunya istri akan dia? kŭrna katujohnya tŭlah bŭristrikan dia. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Bukankah kamu sŭsat, ulih sŭbab kamu tiada tahu kitab, atau kwasa Allah? Kŭrna apabila marika itu kŭlak bŭrbangkit deripada mati, tiadalah marika itu kahwen, atau dibri kahwen, maka iya itu spŭrti mŭliekat yang ada dishorga. Maka derihal orang orang mati, dan bŭrbangkit pula marika itu, tiadakah kamu mŭmbacha dalam kitab Musa, bagimana dalam bŭlukar itu Allah bŭrkata kata kapadanya, katanya, Akulah Allah Ibrahim, dan Allah Isahak, dan Allah Yakob? Bukannya iya itu Allah bagie orang yang mati, mŭlainkan Allah bagie orang yang hidop; maka sŭbab itulah kamu sangatlah sŭsat.

MARKUS 12:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: “Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang lalu pergi ke negeri lain. Apabila tiba musim memetik, peladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil ladang anggur itu. Tetapi para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. Peladang itu menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya. Selepas itu, dia menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul. Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang anak yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, ‘Mereka akan menghormati anakku.’ Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, ‘Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.’ Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.” “Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain. Belum pernahkah kamu baca dalam Kitab Suci: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru; Inilah perbuatan Tuhan, sungguh hebat di mata kami’?” Mereka cuba menangkap Yesus kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu, mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ. Kemudian mereka menghantar kepada-Nya beberapa orang Farisi dan golongan Herodes, untuk memerangkap-Nya melalui kata-kata-Nya. Orang yang dihantar itu berkata kepada-Nya, “Guru, kami tahu bahawa Engkau ikhlas. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih, hanya mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak? Patutkah kami bayar, ataupun tidak?” Tetapi Yesus tahu bahawa mereka itu munafik lalu berkata, “Mengapa kamu menduga-Ku? Bawakan sekeping wang dinar untuk Kulihat.” Mereka pun membawakannya kepada Yesus dan Dia pun bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.” Mereka tercengang mendengar kata-kata-Nya. Selepas itu orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya, “Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya. Kesemuanya ada tujuh adik-beradik lelaki. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Yang kedua berkahwin dengan balu saudaranya, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Begitu juga yang ketiga. Ketujuh-tujuhnya mengahwini wanita itu dan meninggal dunia tanpa anak. Akhirnya wanita itu juga meninggal dunia. Jadi, pada hari kebangkitan ketika mereka bangkit daripada kematian, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu tersilap, kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah? Apabila mereka bangkit daripada kematian, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga. Tetapi tentang kebangkitan orang mati, tidakkah kamu baca dalam kitab Musa, bahagian tentang belukar yang bernyala, betapa Allah berfirman kepadanya, ‘Akulah Allah Abraham, Ishak dan Yakub.’ Dia bukanlah Allah orang mati tetapi Allah orang hidup. Oleh itu, kamu tersilap sama sekali!”