MARKUS 12

12
Perumpamaan tentang Penyewa-Penyewa Ladang Anggur
(Mat 21.33-46; Luk 20.9-19)
1 Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. 2Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. 3Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. 4Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. 5Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. 6Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. 7Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’ 8Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.”
9Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. 10Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab,
‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan
telah menjadi batu yang paling utama.
11 Inilah perbuatan Tuhan;
alangkah indahnya!’ ”
12Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus.
Pertanyaan tentang Pembayaran Cukai
(Mat 22.15-22; Luk 20.20-26)
13Beberapa orang Farisi dan anggota golongan Herodes diutus untuk memerangkap Yesus dengan beberapa pertanyaan. 14Mereka datang kepada Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur dan tidak menghiraukan pendapat orang lain. Guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita membayarnya atau tidak?”
15Yesus mengetahui kemunafikan mereka. Dia menjawab, “Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Cuba perlihatkan sekeping wang perak kepada-Ku.”
16Mereka memberikan sekeping wang perak kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya, “Gambar dan nama siapakah ini?”
“Kaisar,” jawab mereka.
17“Jika demikian,” kata Yesus, “berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, lalu berikan apa yang dimiliki oleh Allah kepada Allah.”
Mereka kagum mendengar kata-kata Yesus.
Pertanyaan tentang Kebangkitan daripada Kematian
(Mat 22.23-33; Luk 20.27-40)
18 Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) 19 “Guru,” kata mereka, “Musa memberikan hukum ini kepada kami: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ 20Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. 21Lalu yang kedua berkahwin dengan balunya, tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga, 22dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Tujuh orang adik-beradik itu berkahwin dengan wanita yang sama, lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya wanita itu sendiri meninggal. 23Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.”
24Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Tahukah kamu apa sebabnya? Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. 25Apabila orang mati dibangkitkan, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga, mereka tidak berkahwin. 26 Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ 27Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!”
Perintah yang Terutama
(Mat 22.34-40; Luk 10.25-28)
28Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?”
29Yesus menjawab, “Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa. 30 Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.’ 31 Perintah yang kedua ialah, ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.”
32 Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, “Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain. 33 Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.”
34 Yesus melihat bahawa guru Taurat itu menjawab dengan bijak. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah.”
Selepas itu tidak seorang pun berani mengajukan pertanyaan kepada Yesus.
Pertanyaan tentang Penyelamat yang Diutus oleh Allah
(Mat 22.41-46; Luk 20.41-44)
35Sewaktu Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya, “Bagaimanakah guru Taurat boleh mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? 36 Sedangkan Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah, berkata,
‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku:
duduklah di sebelah kanan-Ku
sehingga Aku menakluki musuh-Mu
ke bawah kaki-Mu.’
37Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’. Bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?”
Amaran supaya Berhati-hati dengan Guru Taurat
(Mat 23.1-36; Luk 20.45-47)
Orang ramai di Rumah Tuhan suka mendengar ajaran Yesus. 38Sewaktu Yesus mengajar mereka, Dia berkata, “Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. 39Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. 40Mereka memperdaya balu serta merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!”
Persembahan Seorang Balu
(Luk 21.1-4)
41Sewaktu Yesus duduk dekat peti persembahan di Rumah Tuhan, Dia memerhati orang memasukkan wang ke dalam peti itu. Sebilangan besar orang kaya memasukkan banyak wang. 42Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang tembaga yang sangat kecil nilainya. 43Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. 44Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya - dia mendermakan semua nafkahnya.”

Terpilih Sekarang Ini:

MARKUS 12: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk