MATIUS 27:27-44
MATIUS 27:27-44 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu.
MATIUS 27:27-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtkala itu maka diambillah ulih sagala lashkar Raja akan Isa, maka dibawanyalah bŭrsama sama kabalierong, maka bŭrkamponglah sagala pasukan lashkar itu kapadanya. Lalu ditanggalkannya pakieannya, maka dipakiekannya suatu baju yang ungu warnanya. Maka dianyamkannya pula suatu mahakota deripada duri, dipakiekannya ka’atas kapalanya, sŭrta dibrinya sa’batang buloh katangan kanannya, maka bŭrtŭlotlah marika itu dihadapannya, diolok olokkannya akan dia, katanya, Slamatlah hie Raja orang Yahudi. Maka diludahinya akan dia, sŭrta diambilnya tongkat itu dipukolkannya kakŭpalanya. Maka apabila sudahlah marika itu mŭngolok olokkan dia, maka ditanggalkannya baju itu, lalu dipakiekannya pakieannya sŭndiri, sambil dibawanyalah kluar handak disalebkannya akan dia. Maka apabila marika itu kluar, lalu didapatinya sa’orang orang Siereni yang bŭrnama Simon, maka iya pun dipaksainya mŭmikol kayu saleb itu. Maka sŭtlah sampie marika itu kapada tŭmpat yang bŭrnama Golgotha, iya itu artinya tŭmpat tŭngkorak. Maka dibrinyalah akan Isa minom chuka bŭrchampor dŭngan hŭmpŭdu, maka apabila dichobainya, maka tiada iya mahu minom itu. Maka disalebkannya akan dia, lalu dibahgi ulih marika itu pakieannya dŭngan mŭmbuang undi, supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih Nabi, Bahwa marika itu tŭlah mŭmbahgi pakieanku diantara marika itu, maka diatas bajuku marika itu mŭmbuang undi. Maka dudoklah marika itu mŭnunggui akan dia disana. Lalu dibubohkannya pula ka’atas kapalanya surat tudohan dŭmkian bunyinya, IYA INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI. Maka ada pula bŭrsama sama dŭngan dia dua orang pŭnyamun disalebkan, sa’orang sŭblah kanannya, sa’orang sŭblah kirinya. Maka sagala orang yang lalu lalang pun mŭnchŭla akan dia sambil mŭngonchang kapala. Sŭrta bŭrkata, Hie angkau yang mŭmŭchahkan ka’abah, dan dapat mŭmbangunkan dia dalam tiga hari, lŭpaskanlah dirimu. Jikalau sungguh angkau anak Allah, turonlah deri atas saleb itu. Maka dŭmkian lagi imam imam yang bŭsar, dan khatib khatib, dan orang tua tua pun, dan orang Farisia mŭngolok olokkan dia, sŭrta bŭrkata, Iya tŭlah mŭlŭpaskan orang lain, tŭtapi dirinya tiada dapat dilŭpaskannya. Maka jikalau kiranya iya Raja orang Israil, biarlah iya turon deri atas saleb itu, bahrulah kita pŭrchaya akan dia. Iya tŭlah harap pada Allah, maka biarlah dilŭpaskan Allah akan dia skarang jikalau direlainya akan dia, kŭrna iya tŭlah bŭrkata, Bahwa akulah anak Allah. Maka pŭnyamun pŭnyamun yang disalebkan sŭrtanya itupun dŭmkian juga mŭnista akan dia.
MATIUS 27:27-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib. Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus. Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Kemudian mereka duduk berjaga di situ. Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.” Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.” Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus: “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ” Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian.