Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib. Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus. Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Kemudian mereka duduk berjaga di situ. Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.” Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.” Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus: “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ” Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian.
Baca Matius 27
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Matius 27:27-44
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video