MATIUS 18:1-20

MATIUS 18:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Lalu Yesus berkata, “Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.” “Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga. [Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat!] Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu. Ketahuilah! Apabila dia menjumpai domba itu, kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat. Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini sesat.” “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.” “Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.”

MATIUS 18:1-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA pada kutika itu juga datanglah murid murid itu kapada Isa katanya, Siapakah grangan yang tŭrlebih bŭsar dalam krajaan shorga? Maka dipanggil ulih Isa sa’orang kanak kanak hampir kapadanya, lalu ditarohnya akan dia pada sama tŭngah marika itu, Sŭrta bŭrkata, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, jikalau tiada angkau bŭrubah mŭnjadi spŭrti kanak kanak, maka skali kali tiada dapat kamu masok kadalam krajaan shorga. Maka sŭbab itu, barang siapa yang mŭrŭndahkan dirinya spŭrti kanak kanak ini, maka iyalah juga yang tŭrlebih bŭsar dalam krajaan shorga. Maka barang siapa yang mŭnyambut sa’orang kanak kanak spŭrti ini sŭbab namaku, maka srasa iya mŭnyambut aku. Tŭtapi barang siapa yang mŭndatangkan kasalahan pada sa’orang jua pun kanak kanak ini yang pŭrchaya akan daku, maka tŭrlebih baik padanya itu, jikalau digantongkan sa’buah batu kisaran dilehirnya, ditŭngglamkan ditŭngah laut. Karamlah bagie orang dunia, deri sŭbab mŭndatangkan kasalahan, kŭrna dapat tiada bŭbrapa kasalahan akan datang, tŭtapi karamlah bagie orang orang yang mŭndatangkan kasalahan itu. Maka sŭbab itu jikalau kiranya tanganmu, atau kakimu mŭndatangkan kasalahan bagiemu, kratkanlah akan dia, buangkan deripadamu, maka tŭrlebih baik angkau masok kadalam kahidopan kŭkal itu dŭngan tempang atau pinchang, deripada bŭrtangan dua, atau bŭrkaki dua dimasokkan kadalam api yang kŭkal. Dan jikalau matamu mŭndatagkan kasalahan bagiemu, korekkanlah dia, buangkan deri padamu, maka tŭrlebih baik angkau masok kadalam kahidopan kŭkal dŭngan sŭblah mata, deripada bŭrmata kaduanya dimasokkan kadalam api nŭraka. ¶ Ingatlah, jangan kamu mŭnghinakan barang sa’orang deripada sagala orang yang tŭrkŭchil ini, kŭrna aku bŭrkata padamu, bahwa mŭliekatnya dalam shorga lagi sŭntiasa mŭmandang halrat ayahku yang dalam shorga. Kŭrna anak manusia datang akan mŭmliharakan yang tŭlah hilang. Maka bagimanakah sangkamu, jikalau ada kiranya sa’orang mŭnaroh sratus ekor domba, maka sa’ekor dombanya tŭlah sŭsat barat, bukankah ditinggalkannya sŭmbilan puloh sŭmbilan ekor domba itu, iya naik turon gunong mŭnchari yang sŭsat itu? Jikalau didapatinya akan dia itu, bahwasanya aku bŭrkata padamu, suka chitalah iya akan dia, tŭrlebih deripada sŭmbilan puloh sŭmbilan yang tiada sŭsat itu. Maka dŭmkianlah kahandak ayahmu yang ada dishorga pun, supaya jangan binasa barang sa’orang jua pun deripada yang tŭrkŭchil ini. ¶ Tambahan pula, jikalau saudaramu ada bŭrsalah padamu, pŭrgilah tŭgor akan dia antara sama sa’orang angkau dŭngan dia, jikalau ditrimanya akan pŭrkataanmu itu, tŭlah angkau bŭrulih kŭmbali akan saudaramu itu. Tŭtapi jikalau tiada iya mahu mŭnrima pŭrkataanmu itu, bawalah sa’orang atau dua orang lagi sŭrtamu, supaya bulih ditŭntukan sagala pŭrkataanmu itu ulih mulot dua tiga orang saksi itu. Dan jikalau ŭnggan iya akan marika itu, brilah tahu pada sidang jŭmaah, maka jikalau iya ŭnggan pula akan sidang jŭmaah, maka handaklah angkau mŭmbilang dia spŭrti orang sŭsat, dan orang yang mŭmŭgang chukie. Maka sasungguhnya aku bŭrkata padamu, barang suatu yang kamu ikat diatas bumi ini, iya itu ada tŭrikat dalam shorga; dan barang suatu yang kamu uriekan diatas bumi ini, maka iya itu pun ada tŭrurie dalam shorga. Lagi pun aku bŭrkata padamu, jikalau kiranya dua orang deripadamu bŭrmufakat sama sama diatas bumi ini, iya itu derihal barang apa yang handak dipintanya, maka iya itu akan dikurniakan bagienya ulih ayahku yang ada dishorga. Kŭrna barang dimana ada dua tiga orang bŭrhimpun deri kŭrna namaku, maka disitulah aku pun ada bŭrsama sama ditŭngah marika itu.

MATIUS 18:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada ketika itu para murid Yesus datang bertanya kepada-Nya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang dalam kerajaan syurga nanti?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus pun berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil, kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga. Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku.” Sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api kekal. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam api neraka. “Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada murid-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga. Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang hilang. Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya hilang, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang hilang itu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu. Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun yang kecil ini hilang.” “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, ‘Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.” “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga; kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.”