Pada ketika itu para murid Yesus datang bertanya kepada-Nya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang dalam kerajaan syurga nanti?”
Yesus memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus pun berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil, kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga. Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak.
Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku.” Sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam.
Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api kekal. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam api neraka.
“Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada murid-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga. Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang hilang.
Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya hilang, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang hilang itu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu. Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun yang kecil ini hilang.”
“Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, ‘Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.”
“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.
Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga; kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.”