MATIUS 16:6-19
MATIUS 16:6-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Mereka mula bercakap sesama sendiri, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Dia berkata, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Kamu kurang percaya kepada-Ku! Adakah kamu masih belum mengerti? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Bagaimanakah dengan tujuh ketul roti yang Aku bahagikan untuk empat ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Mengapakah kamu tidak faham bahawa Aku tidak berkata-kata tentang roti? Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki!” Barulah pengikut-pengikut Yesus faham bahawa Yesus tidak menyuruh mereka berhati-hati dengan ragi yang digunakan untuk membuat roti, tetapi dengan ajaran orang Farisi dan Saduki. Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” “Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!” kata Yesus, “Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.”
MATIUS 16:6-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata Isa kapada marika itu, Ingatlah kamu, sŭrta pliharakanlah dirimu deripada ragi orang Farisia dan Sadukia. Maka bŭrsangka sangka marika itu sama sŭndirinya, katanya, Inilah deri sŭbab kami tiada mŭmbawa roti. Maka apabila dikŭtahuilah ulih Isa akan hal itu, lalu iya bŭrkata pada marika itu, Hie orang yang korang iman, mŭngapakah kamu bŭrsangka sangka sama sŭndirimu, sŭbab kamu tiada mŭmbawa roti? Maka bŭlomkah kamu mŭngarti, dan tiadakah kamu ingat deri hal lima buah roti pada lima ribu orang, dan brapa bakol sisanya kamu sudah mŭngangkat? Atau tujoh buah roti pada ampat ribu orang, dan brapa bakol sisanya kamu sudah mŭngangkat? Maka bagimanakah kamu bŭlom mŭngarti? bahwa bukannya aku bŭrkata padamu deri hal roti; pliharakanlah dirimu deripada ragi orang Farisia dan Sadukia. Maka bahrulah marika itu mŭngarti, bahwa bukannya iya bŭrkata, mŭmliharakan dirinya deripada ragi roti, mŭlainkan deri pada pŭngajaran orang Farisia dan Sadukia adanya. ¶ Adapun sŭtlah sampie Isa kapada jajahan nŭgri Kisaria Philipus, maka bŭrtanyalah iya kapada murid muridnya katanya, Akan aku, anak manusia ini, siapa disangkakan orang? Maka bŭrkatalah marika itu, Sŭtŭngah orang bŭrkata Yahya Pŭmbaptisa, dan kata sŭtŭngah orang Ilias, dan yang lain pula bŭrkata Jeremiah, atau sa’orang nabi deripada sagala nabi. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Apa pula katamu, siapakah aku ini? Maka jawab Simon Petros, Angkaulah Almasih anak Allah yang hidop itu. Maka kata Isa padanya, Bŭrbahgialah angkau, hie Simon anak Yunas, kŭrna bukannya yang bŭrdarah daging mŭnyatakan itu padamu, mŭlainkan ayahku yang ada dishorga. Maka aku bŭrkata pula padamu, Bahwa angkau inilah Petros, maka diatas batu inilah aku akan mŭndirikan sidang jŭmaahku, maka sagala pintu nŭraka tiada bulih mŭnang akan dia. Maka aku akan mŭmbri padamu anak kunchi krajaan shorga, maka barang suatu yang angkau ikat diatas bumi ini, iya itu akan tŭrikat dalam shorga; dan barang suatu yang angkau uriekan diatas bumi ini, iya itu tŭrurielah dalam shorga.
MATIUS 16:6-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Begitu tipis kepercayaanmu! Belum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Bagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Barulah mereka faham bahawa maksud Yesus bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang Farisi dan Saduki. Yesus pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Anak Manusia ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.” Yesus bertanya, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?” Simon Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus, Anak Allah Yang Hidup.” Yesus berkata, “Diberkatilah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga. Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu pejal inilah akan Kubina jemaah-Ku. Alam maut pun tidak dapat merobohkannya. Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kamu ikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.”