Matius 16:6-19

Matius 16:6-19 AVB

Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Begitu tipis kepercayaanmu! Belum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Bagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” Barulah mereka faham bahawa maksud Yesus bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang Farisi dan Saduki. Yesus pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Anak Manusia ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.” Yesus bertanya, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?” Simon Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus, Anak Allah Yang Hidup.” Yesus berkata, “Diberkatilah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga. Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu pejal inilah akan Kubina jemaah-Ku. Alam maut pun tidak dapat merobohkannya. Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kamu ikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.”