MATIUS 13:33-58

MATIUS 13:33-58 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi, “Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka; Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.” Setelah itu Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke dalam rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan berkata, “Beritahulah kami makna perumpamaan tentang lalang di antara gandum itu.” Yesus berkata, “Orang yang menabur benih yang baik itu Anak Manusia. Ladang itu dunia ini; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah, sedangkan lalang itu orang yang berpihak kepada Si Jahat. Musuh yang menabur benih lalang itu Iblis. Masa menuai tuaian itu Hari Kiamat dan para penuai itu malaikat-malaikat. Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar di dalam api, demikian juga halnya pada Hari Kiamat kelak. Anak Manusia akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya mengumpulkan semua orang antara umat-Nya yang menyebabkan orang berdosa, dan semua orang lain yang melakukan kejahatan. Mereka semua akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di situ mereka akan menangis dan menderita. Kemudian orang yang melakukan kehendak Allah akan bersinar seperti matahari di Dunia Baru Allah, Bapa mereka. Jika kamu bertelinga, dengarlah!” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seseorang menjumpai harta yang terpendam di tanah, lalu dia memendamnya semula. Kemudian dengan penuh sukacita dia pergi menjual segala miliknya, lalu kembali dan membeli tanah itu.” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang saudagar mencari mutiara yang sangat berharga. Apabila dia menemui sebutir mutiara yang sangat berharga, dia menjual segala miliknya, lalu membeli mutiara itu.” “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam tasik lalu mendapat bermacam-macam ikan. Apabila pukat itu sudah penuh, nelayan menariknya ke darat. Lalu mereka duduk dan memisahkan ikan-ikan itu: yang baik disimpan di dalam bekas dan yang tidak baik dibuang. Demikianlah halnya pada Hari Kiamat. Malaikat-malaikat akan datang untuk mengumpulkan orang jahat antara orang yang melakukan kehendak Allah. Lalu orang jahat akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di sana mereka akan menangis dan menderita.” “Fahamkah kamu akan perkara-perkara ini?” tanya Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya. “Kami faham,” jawab mereka. Yesus berkata pula, “Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang Pemerintahan Allah, bagaikan pemilik rumah yang mengeluarkan benda baru dan benda lama dari stornya.” Setelah Yesus menceritakan perumpamaan-perumpamaan itu, Dia meninggalkan tempat itu, lalu balik ke kampung halaman-Nya. Di sana Dia mengajar di rumah ibadat, dan orang yang mendengar-Nya hairan. Mereka bertanya, “Dari manakah dia mendapat kebijaksanaan seperti itu? Dari manakah dia mendapat kuasa untuk melakukan mukjizat? Bukankah dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibunya, dan Yakobus, Yusuf, Simon, serta Yudas itu saudaranya? Bukankah saudara-saudara perempuannya bersama-sama kita? Dari manakah dia memperoleh semuanya ini?” Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan antara keluarganya sendiri.” Yesus tidak melakukan banyak mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya kepada-Nya.

MATIUS 13:33-58 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Dan lagi pula suatu pŭrumpamaan yang lain diadakannya bagie marika itu, katanya, Adapun krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan ragi, yang diambil ulih sa’orang pŭrampuan, lalu dibubohkannya kadalam tiga bahgian tŭpong, sahingga sŭmuanya jadi khamirlah. Bŭrmula adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih Isa kapada orang banyak itu dŭngan pŭrumpamaan, maka lain deri pada pŭrumpamaan tiadalah iya bŭrkata kata pada marika itu. Supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi, katanya, Aku akan mŭmbuka mulotku dŭngan mŭngatakan pŭrumpamaan; bahwa aku akan bŭrkata pŭrkara yang tŭrsŭmbunyi deripada pŭrmulaan dunia. Maka tŭtkala itu disurohkan ulih Isa sagala pŭrhimpunan orang itu pulang, lalu masoklah iya karumah, maka datanglah murid muridnya kapadanya, katanya, Artikanlah pada kami pŭrumpamaan lalang yang diladang itu. Maka jawabnya pada marika itu, Adapun orang yang mŭnabor bŭnih yang baik itu, iya itulah anak manusia: Ladang itulah dunia ini; dan bŭnih yang baik itu, iya itu anak anak krajaan itu; tŭtapi lalang itu, iya itu anak anak sikapala jahat itu: Adapun sŭtru yang mŭnabor itu, iya itulah Iblis; dan musim mŭnuwie, iya itu kasudahan alam ini; dan orang orang yang mŭnuwie itu, iya itu sagala mŭliekat. Sŭbab itu spŭrti lalang itu dipungot, sŭrta dibakar kadalam api, maka dŭmkianlah kŭlak akan jadi pada kasudahan dunia ini. Bahwa anak manusia itu akan mŭnyurohkan sagala mŭliekatnya, maka marika itulah akan mŭmungot deripada krajaannya sagala yang mŭnyŭsatkan, dan sagala yang bŭrbuat kajahatan: Dan mŭmbuangkan dia kadalam kanhor api, maka disanalah ada aduh aduhan, dan gŭrtak gigi. Maka tŭtkala itu sagala orang yang bŭnar pun akan bŭrcahya chayalah spŭrti chaya matahari, dalam krajaan ayahnya; maka barang siapa yang ada bŭrtlinga, handaklah iya mŭnŭngar. ¶ Dan lagi krajaan shorga itu diumpamakan dŭngan suatu mata bŭnda yang tŭrsŭmbunyi dalam tanah, maka apabila didapati ulih sa’orang akan dia, lalu disŭmbunyikannya dia itu, maka deri sŭbab kasukaannya itu, pŭrgilah iya mŭnjualkan barang suatu yang ada kapadanya, lalu dibŭlikannya tanah itu. ¶ Dan lagi krajaan shorga itu saumpama dŭngan sa’orang saudagar yang mŭnchari mutiara yang indah indah: Maka apabila didapatinya sa’buah mutiara yang bŭsar harganya, maka pŭrgilah iya mŭnjualkan barang apa yang ada kapadanya, lalu dibŭlikannya dia. ¶ Dan lagi pula krajaan shorga itu saumpama dŭngan sa’rawan pukat yang dibuang orang dalam laut mŭnghimpunkan jŭnis jŭnis; Maka apabila pŭnohlah iya, maka ditarek orang naik katŭpi pantie, sŭrta dudoklah iya mŭmungot yang baik baik itu, datarohnya kadalam bakolnya, tŭtapi yang tiada baik dibuangkannya. Maka dŭmkianlah kŭlak akan jadi pada kasudahan alam ini; maka sagala mŭliekat pun akan kluar mŭnchŭriekan sagala orang jahat deri antara sagala orang yang bŭnar: Maka akan dibuangkannya dia itu kadalam kanhor api, maka disanalah ada aduh aduhan dan gŭrtak gigi. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Sudahkah kamu mŭngarti skalian ini? Maka jawab marika itu padanya, Sudah Tuhan. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Sŭbab itu, barang sa’orang guru yang tŭlah diajarkan barang pŭrkara krajaan shorga ini, iya itu saumpama dŭngan sa’orang tuan rumah, yang mŭngluarkan deri dalam pŭrsimpanannya akan pŭrkara yang lama dan bahru adanya. ¶ Bŭrmula sŭtlah putuslah pŭrkataan Isa akan sagala pŭrumpamaan ini, maka undorlah iya deri sana. Maka apabila masoklah iya kadalam nŭgrinya sŭndiri, lalu diajarkannyalah marika itu skalian dalam kŭnisa marika itu, sahingga hieranlah tŭrchŭngang marika itu, sambil bŭrkata, Deri manakah orang ini mŭndapat hikmat yang dŭmkian ini, sŭrta sagala pŭrbuatan yang bŭrkwasa ini? Maka bukankah iya ini anak tukang kayu itu? dan bukankah ibunya bŭrnama Mŭriam? maka Yakob, dan Yusa, dan Simon, dan Yuda saudaranya? Dan lagi adek kakaknya pŭrampuan itu pun, bukankah sŭmuanya ada bŭrsama sama dŭngan kita? maka deri manakah didapatinya akan sagala pŭrkara ini? Lalu dŭngkilah marika itu akan dia; tŭtapi bŭrkatalah Isa pada marika itu, Tiada bŭrkurangan bagie sa’orang nabi itu, mŭlainkan dalam nŭgrinya, dan dalam rumahnya. Maka tiadalah iya bŭrbuat banyak pŭrbuatan yang ajaib disana, sŭbab marika itu tiada bŭriman.

MATIUS 13:33-58 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Yesus menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi: “Aku akan membuka mulut melalui ibarat; Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.” Selepas itu, Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Murid-murid-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, “Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.” Yesus berkata, “Orang yang menabur benih baik itu Anak Manusia. Ladang itu dunia. Benih yang baik itu anak-anak kerajaan dan lalang itu anak-anak si durjana. Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat. Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir. Anak Manusia akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua dalam kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dalam kerajaan-Nya dan yang menyebabkan orang berdosa. Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!” “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.” “Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya. Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.” “Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan. Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik di dalam bekas dan membuang yang tidak baik. Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar. Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. Fahamkah kamu hal-hal ini?” tanya Yesus. “Kami faham,” jawab mereka. Yesus berkata, “Oleh itu, setiap ahli Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama daripada khazanah simpanannya.” Setelah Yesus selesai menceritakan ibarat, Yesus pun beredar dari situ. Lalu Dia pulang ke kampung halaman-Nya. Di situ Dia mengajar di saumaah. Orang yang mendengar-Nya hairan lalu bertanya, “Dari manakah Dia mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah Dia mendapat kuasa melakukan mukjizat? Bukankah Dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibu-Nya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudara-Nya? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya ada bersama kita? Dari manakah Dia mendapat semua ini?” Dengan demikian mereka enggan menerima-Nya. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati kecuali di kampung halamannya dan dalam keluarganya sendiri.” Yesus tidak banyak melakukan mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya.