Matius 13:33-58

Matius 13:33-58 AVB

Kemudian Yesus menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.” Demikianlah Yesus mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi: “Aku akan membuka mulut melalui ibarat; Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.” Selepas itu, Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Murid-murid-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, “Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.” Yesus berkata, “Orang yang menabur benih baik itu Anak Manusia. Ladang itu dunia. Benih yang baik itu anak-anak kerajaan dan lalang itu anak-anak si durjana. Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat. Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir. Anak Manusia akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua dalam kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dalam kerajaan-Nya dan yang menyebabkan orang berdosa. Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!” “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.” “Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya. Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.” “Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan. Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik di dalam bekas dan membuang yang tidak baik. Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar. Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. Fahamkah kamu hal-hal ini?” tanya Yesus. “Kami faham,” jawab mereka. Yesus berkata, “Oleh itu, setiap ahli Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama daripada khazanah simpanannya.” Setelah Yesus selesai menceritakan ibarat, Yesus pun beredar dari situ. Lalu Dia pulang ke kampung halaman-Nya. Di situ Dia mengajar di saumaah. Orang yang mendengar-Nya hairan lalu bertanya, “Dari manakah Dia mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah Dia mendapat kuasa melakukan mukjizat? Bukankah Dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibu-Nya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudara-Nya? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya ada bersama kita? Dari manakah Dia mendapat semua ini?” Dengan demikian mereka enggan menerima-Nya. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati kecuali di kampung halamannya dan dalam keluarganya sendiri.” Yesus tidak banyak melakukan mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya.