MATIUS 12:38-45

MATIUS 12:38-45 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata, “Guru, kami ingin melihat guru melakukan mukjizat.” Tetapi Yesus menjawab, “Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi. Pada Hari Kiamat kelak, penduduk Niniwe akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana mereka bertaubat daripada dosa apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus. Tetapi ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus! Pada Hari Kiamat kelak, ratu dari Syeba akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Salomo yang bijak itu. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!” “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika tempat tinggal tidak ditemuinya, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Kemudian roh itu balik dan mendapati rumah itu kosong, bersih, dan teratur. Lalu roh itu pergi dan memanggil tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya. Semuanya memasuki orang itu dan tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih buruk daripada dahulu. Inilah yang akan berlaku kepada orang jahat zaman ini.”

MATIUS 12:38-45 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Sŭtlah itu ada bŭbrapa orang khatib, dan orang Farisia bŭrkata, Hie Guru, bahwa kami skalian handak mŭlihat barang suatu tandah ajaib deripadamu. Tŭtapi disahut Isa pada marika itu, Bahwa bangsa yang jahat, dan bŭrzinah itu, mŭnuntut akan mŭlihat suatu tandah, maka barang suatu tandah pun tiada diunjokkan padanya, mŭlainkan tandah nabi Yunas. Adapun spŭrti Yunas itu dalam prot ikan raya tiga hari tiga malam lamanya, maka dŭmkianlah anak manusia pun dalam hati bumi kŭlak tiga hari tiga malam lamanya. Sagala orang nŭgri Nineveh kŭlak akan bŭrbangkit dalam hukum hari kiamat, bŭrsama sama dŭngan orang zaman ini, sŭrta disalahkannya akan dia, kŭrna marika itu sudah bŭrtaubat sŭbab pŭngajaran Yunas itu, maka sasungguhnya disini ada sa’orang yang tŭrlebih bŭsar deripada Yunas. Maka pŭrmisuri deri nŭgri sŭblah sŭlatan, akan bŭrbangkit dalam hukum hari kiamat, bŭrsama sama dŭngan orang zaman ini, sŭrta disalahkannya akan dia itu, kŭrna pŭrmisuri itu tŭlah datang deri hujong bumi, akan mŭnŭngar bijaksana Sulieman, maka sasungguhnya disini ada sa’orang yang tŭrlebih bŭsar deripada Sulieman. Shahadan apabila jin yang jahat kluar deri dalam sa’orang manusia, maka dijalaninyalah akan tŭmpat yang tiada bŭrayer mŭnchari pŭrhŭntian, maka tiadalah dipŭrulihnya akan dia: Maka tŭtkala itu bŭrkatalah iya, Bahwa aku handak kŭmbali karumahku deri tŭmpat yang aku kluar; maka sŭtlah iya sampie, lalu didapatinya akan tŭmpat itu tŭlah kosong, dan disapui dan dihiasi. Maka tŭtkala itu, pŭrgilah iya mŭngambil tujoh orang jin lain pula, yang tŭrlebih jahat deripadanya sŭndiri, dibawanya bŭrsama sama dŭngan dia, masok tinggal disana; maka hal orang itu pada akhirnya kŭlak tŭrlebih jahat adanya deripada awalnya. Maka bŭgitulah kŭlak akan jadi pada bangsa yang jahat ini.

MATIUS 12:38-45 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas itu, beberapa orang ahli Taurat dan orang Farisi berkata kepada Yesus, “Guru, kami ingin melihat suatu tanda mukjizat daripada-Mu.” Tetapi Yesus menjawab, “Manusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda nabi Yunus. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Anak Manusia akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi. Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus. Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo. Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu akan berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas. Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.”