Matius 12:38-45

Matius 12:38-45 AVB

Selepas itu, beberapa orang ahli Taurat dan orang Farisi berkata kepada Yesus, “Guru, kami ingin melihat suatu tanda mukjizat daripada-Mu.” Tetapi Yesus menjawab, “Manusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda nabi Yunus. Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Anak Manusia akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi. Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus. Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo. Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu akan berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas. Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.”