MATIUS 12:1-14

MATIUS 12:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari Sabat, Yesus melewati ladang gandum. Pengikut-pengikut-Nya lapar, dan mereka mula memetik gandum lalu memakannya. Apabila orang Farisi nampak hal ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, pengikutmu melanggar Taurat kita. Mereka melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Daud masuk ke dalam Khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah, walaupun perbuatan itu melanggar Taurat. Hanya imam yang dibenarkan makan roti itu. Belum pernahkah kamu baca di dalam Taurat Musa bahawa pada setiap hari Sabat, imam di Rumah Tuhan sebetulnya melanggar hukum hari Sabat? Tetapi mereka tidak disalahkan. Perhatikan apa yang Aku katakan ini: Di sini ada yang lebih penting daripada Rumah Tuhan. Di dalam Alkitab tertulis, ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentu kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah, kerana Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat.” Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke sebuah rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Tetapi ada juga beberapa orang yang hendak mencari-cari kesalahan Yesus supaya dapat menuduh Dia. Mereka bertanya kepada Yesus, “Adakah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar Taurat kita?” Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan seandainya seorang antara kamu mempunyai seekor domba, lalu pada hari Sabat domba itu jatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentunya kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya dari lubang itu. Manusia lebih berharga daripada domba! Oleh itu, Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat.” Kemudian Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya, dan sembuhlah tangan itu sehingga seperti tangannya yang sebelah. Tetapi orang Farisi di situ meninggalkan tempat itu lalu berkomplot hendak membunuh Yesus.

MATIUS 12:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA pada tŭtkala itu juga bŭrjalanlah Isa pada suatu hari sabtu, diantara ladang ladang gandom, maka laparlah murid muridnya, lalu dipŭtek ulih marika itu bŭbrapa tangkie gandom dimakannya. Tŭtapi apabila dilihat ulih orang Farisia akan hal itu, lalu bŭrkatalah marika itu pada Isa, Tengoklah murid muridmu itu bŭrbuat barang yang haram dipŭrbuat pada hari sabtu. Akan tŭtapi sahut Isa pada marika itu, Maka bukankah kamu tŭlah mŭmbacha apa yang dipŭrbuat ulih Daud pada kutika dia lapar, dan sagala orang yang sŭrtanya itu pun? Bagimana iya tŭlah masok ka’abah Allah, sŭrta mŭmakan roti yang dibuat sŭmbahyang itu, iya itu yang haram dimakannya sŭndiri, atau dimakan ulih orang yang sŭrtanya itu pun, mŭlainkan bagie imam imam sahja? Atau bukankah kamu tŭlah mŭmbacha dalam tauret, bagimana pada sagala hari sabtu, imam imam itu mŭlawan hukum hari sabtu dalam ka’abah iya itu tiada juga bŭrsalah? Tŭtapi aku bŭrkata padamu, maka disini ada sa’orang yang tŭrlebih bŭsar deripada ka’abah. Tŭtapi jikalau kamu sudah mŭngtahui apa artinya pŭrkataan ini, iya itu Aku kahandaki kamurahan, tŭtapi bukannya korban, nŭschaya tiadalah kŭlak kamu mŭnyalahkan orang yang tiada bŭrsalah itu. Kŭrna anak manusia itu pun Tuhan hari sabtu. Maka apabila bŭrpindahlah Isa deri sana, lalu masoklah iya kadalam kŭnisa marika itu. ¶ Sŭbarmula maka hieran, adalah disana sa’orang yang chapek tangannya sŭblah, maka bŭrtanyalah marika itu kapada Isa, akalnya handak mŭnyalahkan dia, katanya, Adakah patut mŭnyŭmbohkan orang yang sakit pada hari sabtu? Maka jawab Isa pada marika itu, Jikalau kiranya ada sa’orang diantara kamu mŭnaroh sa’ekor domba, maka jikalau jatohlah domba itu pada hari sabtu kadalam suatu paret, bukankah dichapienya lalu dinaikkannya akan dia? Maka bŭbrapakah lebih mulianya sa’orang manusia deri pada sa’ekor domba? Maka sŭbab itu patutlah bŭrbuat pŭrkara yang baik pada hari sabtu. Maka sŭtlah itu juga, bŭrkatalah Isa pada orang chapek itu, Hulorkanlah tanganmu; maka dihulorkannya, lalu sŭmbohlah spŭrti tangannya sŭblah itu. ¶ Sŭtlah itu, kluarlah orang orang Farisia akan bŭrbichara sama sŭndirinya, mŭnchari jalan handak mŭmbinasakan dia.

MATIUS 12:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari Sabat, Yesus berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya lapar lalu memetik bulir gandum dan memakannya. Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, murid-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan mereka yang ada bersamanya berasa lapar? Daud masuk ke dalam Rumah Allah, lalu dia dan mereka yang ada bersamanya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di Bait Suci melanggar hukum hari Sabat? Namun demikian, mereka tidak disalahkan. Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada Bait Suci. Ada tersurat: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah; kerana Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.” Yesus beredar dari situ lalu masuk ke sebuah saumaah mereka. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Mereka bertanya kepada-Nya, “Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?” Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang? Tentulah kamu berusaha untuk menariknya keluar. Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.” Setelah itu, Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu tangan itu terus sembuh sama seperti yang sebelahnya. Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Yesus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami