Matius 12:1-14

Matius 12:1-14 AVB

Pada suatu hari Sabat, Yesus berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya lapar lalu memetik bulir gandum dan memakannya. Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, murid-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan mereka yang ada bersamanya berasa lapar? Daud masuk ke dalam Rumah Allah, lalu dia dan mereka yang ada bersamanya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di Bait Suci melanggar hukum hari Sabat? Namun demikian, mereka tidak disalahkan. Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada Bait Suci. Ada tersurat: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah; kerana Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.” Yesus beredar dari situ lalu masuk ke sebuah saumaah mereka. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Mereka bertanya kepada-Nya, “Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?” Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang? Tentulah kamu berusaha untuk menariknya keluar. Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.” Setelah itu, Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu tangan itu terus sembuh sama seperti yang sebelahnya. Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Yesus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami