LUKAS 20:27-40
LUKAS 20:27-40 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, Musa memberi kita hukum berikut: ‘Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya mesti berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.’ Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. Lalu saudara kedua berkahwin dengan balu itu tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara ketiga dan seterusnya sehingga saudara ketujuh. Mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya balu itu meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin. Tetapi lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin. Mereka akan menjadi seperti malaikat; mereka tidak mati lagi. Mereka menjadi anak-anak Allah, kerana mereka sudah dibangkitkan daripada kematian. Musa menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Tulisannya tentang belukar yang bernyala menyatakan Tuhan sebagai ‘Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Hal ini bererti bahawa Allah itu Allah orang hidup, bukan Allah orang mati, kerana Allah menganggap mereka semua hidup.” Beberapa orang guru Taurat berkata, “Sungguh baik jawapan guru.” Mereka tidak lagi berani menanyakan apa-apa kepada Yesus.
LUKAS 20:27-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭtlah itu datanglah kapadanya orang orang Sadukia anu yang mŭnyangkali akan hari kŭbangkitan, maka marika itu bŭrtanya kapadanya: Katanya, Guru, Musa tŭlah mŭnuliskan kapada kami; jikalau saudara barang siapa mati ada mŭnaroh istri, jika mati itu dŭngan tiada mŭngadakan anak, maka patutlah saudaranya mŭngambil istrinya, dan mŭmbangkitkan bŭnih bagie saudaranya. Maka sŭbab itu adalah orang tujoh bŭrsaudara, maka yang pŭrtama mŭngambil sa’orang istri lalu mati, dŭngan tiada mŭngadakan anak. Maka yang kadua pula mŭmbuat akan istri dia, lalu mati dŭngan tiada mŭngadakan anak. Maka yang katiga pula mŭngambil dia, dan dŭmkian juga yang katujoh pun, maka tiada marika itu mŭninggalkan anak, lalu mati. Maka kumdian deripada skalian maka pŭrampuan itu pun matilah pula. Sŭbab itu dalam hari kŭbangkitan kŭlak, siapakah deripada marika itu ampunya istri akan pŭrampuan itu? kŭrna tujoh orang tŭlah mŭmpŭristrikan dia. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Adapun anak anak dunia ini kahwen dan mŭmbri kahwen. Tŭtapi marika itu yang kŭlak dibilangkan layak akan mŭndapat akhirat itu, dan kŭbangkitan deripada mati; kahwen pun tidak, dibri kahwen pun tidak. Atau tiada kŭlak marika itu akan mati lagi, kŭrna marika itu sŭtara dŭngan mŭliekat mŭliekat, dan adalah iya itu anak anak Allah, sŭdang jadi anak kŭbangkitan. Adapun orang mati itu akan bŭrbangkit, itu pun tŭlah diunjokkan ulih Musa dalam bŭlukar, apabila bŭrsrulah iya akan Tuhan Allah Ibrahim, dan Allah Isahak, dan Allah Yakob. Kŭrna Tuhan itu bukannya Allah pada yang mati, mŭlainkan pada yang hidop, sŭbab sagala itu hidop kŭrna Tuhan. ¶ Sŭtlah itu khatib khatib anu itu mŭnjawab, katanya, Guru, pŭrkataanmu itu bŭtol. Maka kumdian deripada itu, tiadalah brani marika itu bŭrtanya kapadanya barang sual lagi.
LUKAS 20:27-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya, “Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya. Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Yang kedua berkahwin dengan balunya, kemudian yang ketiga dan seterusnya sampai kepada ketujuh saudara itu. Semuanya meninggal dunia tanpa anak. Akhirnya, wanita itu pun meninggal dunia. Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu kerana ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya?” Yesus menjawab, “Orang dunia zaman ini berkahwin dan dikahwinkan tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin dan tidak dikahwinkan. Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan. Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Tuhan disebut Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub. Dia bukan Allah orang mati tetapi Allah orang hidup kerana semua hidup pada Allah.” Beberapa orang ahli Taurat berkata, “Guru, betul jawapan-Mu.” Mereka tidak berani menyoal-Nya apa-apa lagi.